Singgah ke Restoran Pak Mus

Browsing "Older Posts"

  • Antara Warisan dan PBS

    Thursday 27 December 2018

    PBS tidak pernah merestui kemasukan UMNO pada 21 February 1991. Jauh sekali menjemputnya mengembangkan sayap ke Sabah. Pemimpin tertinggi PBS kerap kata parti mereka terbuka tanpa syarat kpd YB-YB USNO dan ahli-ahlinya.

    Pada masa itu imej PBS digambarkan sebagai lokal parti yg 'championing' hak-hak Sabah. Parti itu kononnya bersikap adil kepada semua kaum di negeri itu. Benarkah begitu?

    Seperti PBS pemimpin tertinggi parti WARISAN juga mengeluar kenyataan membuka pintu kepada wakil-wakil rakyat UMNO tanpa syarat. Parti itu juga menggambarkan imej yang sama seperti PBS - menjuarai isu-isu berkaitan perjuangan hak-hak Sabah dan MA63 serta adil kepada semua kelompok masyarakat di Sabah. Benarkah begitu?

    Keratan akhbar tempatan melaporkan seramai 2,000 anak Sabah di Selangor sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu
    Ironisnya pemimpin yang sama ketika membawa UMNO ke Sabah 27 tahun lalu telah menjadi Perdana Menteri. Tun Mahathir adalah seorang Machiavellian. Dia tidak melihat politik dari sudut yang sempit. Dalam sejarah politik Sabah, Dr Mahahir secara langsung dan tidak langsung berperanan menjatuhkan kerajaan USNO, BERJAYA, PBS dan Kerajaan BN-UMNO di Sabah.

    Tidak habis-habis isu Bersatu ke Sabah. Saya pun kerap diminta pandangan. Saya telah diberi kefahaman seorang pemimpin kanan Bersatu bahawa persefahaman antara Bersatu dan Warisan adalah khusus untuk PRU14.

    Tujuannya untuk mengelak perpecahan undi kerana kedua-dua parti Warisan dan Bersatu mewakili kelompok yang sama iaitu Bumiputera Islam. Berbanding dengan PKR dan Amanah yg konsepnya lebih kepada multiracial party. Jika Bersatu dan Warisan bertanding dikawasan yg sama sudah tentu akan melemahkan kedua2 parti tersebut. Persefahaman itu bukan satu perjanjian seperti MA63. Jgn pulak samakan ia seperti perjanjian Francis Light dengan Sultan Kedah yg membolehkan Pulau Pinang menduduki Seberang Perai selagi ada bulan dan bintang.

    Kedua2 parti telah menjadi kerajaan. Bersatu Mengetuai kerajaan Persekutuan manakala Warisan mengetuai kerajaan negeri. Senario politik sudah berubah dan berbeza selepas PRU lalu. Sudah tentu jika ada keperluan politik kpd Bersatu untuk mengembang sayap ke Sabah parti itu akan berbuat demikian.

    Warisan terutama para penyokong tidak seharusnya risau jika parti mereka sebuah parti yg kuat dan dapat mewakili suara semua rakyat Sabah bukan kelompok tertentu sahaja.... Apa masalahnya bussku?

    Apakah Dr Mahathir akan merestui kemasukan BERSATU ke Sabah? Sama-sama kita tunggu langkah dan silat politik berikutnya dari Dr Mahathir....

  • Pemimpin Keras hati dan keras kepala

    Monday 24 December 2018

    Selamat pagi dari Restoran Pak Mus di Tanjung Aru Plaza. Hari ini tanggal 24 Disember. 2018. Esok sambutan Hari Natal. Restoran Pak Mus beroperasi seperti biasa. Merry Christmas untuk kawan2 dan pelanggan setia yang menyambut perayaan itu.   Saya tidak menulis kelmarin. Turut bersedih dengan malapetaka Tsunami yang menimpa rakyat Indonesia di Selat Sunda. Salam Takziah kepada warga yang anggota keluarganya tewas dalam bencana itu. Untuk mangsa korban yang beragama Islam kita sama2 hadiahkan Alfatihah. Semuga roh mereka ditempatkan bersama para solihin. 

    Semalam Restoran Pak Mus tutup. Ahad yang jatuh pada minggu kedua dan Ahad minggu ketiga adalah  hari rehat untuk semua pekerja. Restoran beroperasi seperti biasa  pada Ahad minggu pertama dan minggu keempat. Saya mohon maaf kepada kawan2 yang sedikit kecewa kerana restoran tutup. Ada yang datang jauh dari Keningau bersama keluarga untuk merasa  gulai kawah. Saya balas WhatsApp mohon maaf.   

    Saya mengisi masa rehat dengan menulis. Sedang siapkan sebuah buku bertajuk MEMO UNTUK WARISAN yang mungkin terbit tahun depan. Masih peringkat prolog. Lama lagi untuk menjadi sebuah buku. Disamping itu seperti biasa saya juga membaca tulisan kawan2 mengenai politik tanah air. Satu tulisan begitu menarik dari aktivis BERSATU. Catatan saudara Mohd Hanizam Yunos saya petik untuk pembaca blog catatanpakmus.blogspot.com. Biar pembaca sendiri menilai keadaan politik dan kecelaruan yang sedang berlaku.

    Mengurus pemimpin dan menteri2  yang keras kepala dan mempunyai independent mind, pemikiran sendiri yang bebas bukan satu tugas yang mudah kepada seorang PM. Saya pernah berada dalam barisan kepimpinan PKR selama empat tahun sebagai anggota MPN Sabah. Politicking dalaman parti  begitu tegang. Beberapa kali dalam mesyuarat selain berdebat dan berbalas hujah kerap juga berbalas tumbuk dan sepak terajang. Pada masa itu wujud dua factions dalam PKR Negeri.  Masing2 cuba menonjol kumpulan masing2. Saya percaya perkara sama berlaku dalam DAP dan PAS. 

    Berada begitu lama dalam pembangkang bukan sahaja menjadikan seorang pemimpin  berkepala keras tetapi juga berhati keras. Barangkali rasa kasih sayang dan sopan santun semakin luntur kerana sering mencari kesalahan kerajaan yang memerintah. Jangan terkejut jika sifat itu terbawa-bawa setelah menjadi pemimpin kerajaan dan anggota kabinet.

    Catatan Mohd Hanizam Yunos dalam FB: 

    "Menteri Sukan suruh menteri perpaduan letak jawatan sebab berlaku rusuhan kaum". Menteri Perpaduan balas. Minta menteri Sukan letak jawatan sebab kalah pada Vietnam. Menteri KKLB sokong menteri sukan. Menteri tenaga cakap "you shut up!. You pun kena letak jawatan sebab masih ramai orang Umno dalam Kemas". Menteri KKLB jawap " You letak jawatan dululah sebab tidak dapat kurang pekerja asing". Menteri Tenaga kata 'itu kerja KDN'. Menteri KDN perlu letak jawatan. Govind Deo cuba tenteram keadaan. Semua kata 'mind your own business Govind. Masalah You dengan Telco pun tak boleh selesai why don't you resign?' Govind jawap 'at least I know how to keep quiet tak macam menteri yang kejar glamer harga telur turun 2 sen pun masuk muka depan akhbar'. Tak layak langsung jadi menteri. Menteri telur balas "Aku nak tolong KPDNKK pun kena jugak" Menteri KPDNKK kata "ada aku minta tolong kau...."

    Di Sabah berlaku perang terbuka menteri dan pembantu menteri berhubung perlantikan Ahli Majlis Daerah yang berat sebelah.

    Junz Wong dan penyokongnya mengadakan sidang media hari ini bagi membantah pelantikan ahli Majlis Daerah Putatan yang berat sebelah - Free Malaysia Today
    Memetik laporan Free Malaysia Today, Adun Tanjung Aru, Datuk Junz Wong mendakwa Adun Petagas, Datuk Uda Sulai memungkiri janji untuk memasukkan wakil dari Tanjung Aru dalam Majlis Daerah Putatan.

    Sebaliknya, Wong berkata, Uda memilih orang sendiri untuk mengisi semua jawatan ahli majlis itu, tindakan yang disifatkannya bertentangan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

    Wong ialah menteri pertanian dan industri makanan Sabah, manakala Uda ialah bekas pemimpin cawangan Umno di Putatan serta pembantu menteri undang-undang dan hal ehwal anak negeri.

    Begitulah cerita hari ini. Kita sambung esok. Saya ke dapur dulu untuk masak gulai kawah daging, tulang dengan rebung untuk lunch.... jumpa lagi
  • Politik dan Projek. Siapa mulakan?

    Friday 21 December 2018

    Hari ini Jumaat Disember 21. Catatan Pak Mus agak sedikit lewat kerana hari Jumaat yang sibuk. Catatan kali ini juga  pendek dan ringkas.

    Sehari dua ini  isu siapa dapat kontrak dan projek kerajaan banyak berlegar-legar di alam maya. Saya baca keluhan itu dari kalangan penyokong2 PH. Di Sabah di kalangan penyokong parti WARISAN. Di Malaya dikalangan penyokong2 PPBM. Penyokong DAP dan PKR tidak ketara sangat kerana setahu saya puak2 ini jarang berjuang dalam politik untuk dapat projek. Begitu juga penyokong parti Amanah yang asalnya penyokong PAS. Mereka tidak ambil kisah sangat berbanding dengan penyokong2 yang pernah menjadi penyokong UMNO. 

    Penyokong Warisan dan sebahagian besar penyokong Bersatu berkongsi DNA dengan penyokong UMNO. Sebab itu perangai pun macam penyokong UMNO. Sikap dengki dan tamak mereka saling tak tumpah! 

    Maka itu yang bising konon orang-orang Umno sapu bersih semua tender kerajaan adalah terdiri dari penyokong-penyokong tegar UMNO yang kini dalam WARISAN dan Bersatu. Baru2 ini dikatakan semua  tender pembekalan makanan asrama dan lain2 projek dalam Kementerian Pelajaran Persekutuan dibolot Kontraktor UMNO. Di Sabah orang Warisan bising2 kononnya kontraktor UMNO terus bolot projek kerajaan negeri termasuk projek peringkat DUN dan Parlimen. 

    Jangan hairan bila kemasukan beramai-ramai pemimpin dan anggota UMNO kurang disenangi penyokong Warisan. Sebabnya kerana projek bukan kerana politik. Kontraktor yang dulunya dapat habuan dari kerajaan UMNO-BN adalah antara puak-puak yang marah dan bising. 

    Kontrak dan politik sepatutnya tidak bercampur aduk. Kontraktor adalah terdiri daripada ahli perniagaan bukan orang2 politik. Tetapi pada awal tahun 80an keadaan itu telah berubah.  Presiden UMNO yang baru, Tun Dr Mahathir Mohammad telah membuka pintu parti  kepada golongan korporat untuk terlibat secara aktif. Ianya bermula dengan melantik ketua2 penaja bahagian UMNO dikalangan ahli perniagaan dan ahli korporat sewaktu proses persempadanan semula bahagian parti berikutan persempadanan baru kawasan parlimen. Ramai golongan korporat 'handpicked' oleh Tun Mahathir menjadi anggota dalam kabinet kerajaan Persekutuan.

    Bertitik tolak dari situ bermulalah detiknya golongan politik dalam parti UMNO yang asalnya terdiri daripada guru2 dan kakitangan rendah kerajaan tersisih dan terpinggir. Kepimpinan UMNO di semua peringkat, dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat cawangan mula dikuasai golongan peniaga dan kontraktor.  Jawatan mula dibeli dengan wang ringgit. Politik wang jadi amalan setiap kali berlaku pemilihan parti. Golongan aktivis UMNO yang bukan golongan peniaga mula keluar dari parti itu. Mulanya sebagai golongan serpihan yang tidak mengugat keutuhan parti pemerintah yang semakin angkuh dan sombong dengan kuasa dan kekayaan mereka.

    Saya masak dulu ke dapur. Kita sambung esok.
  • SABAH DAN SARAWAK KEKAL "GUINEA PIG" TUN MAHATHIR

    Thursday 20 December 2018
    GAMBAR viral menunjukkan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor (kanan) memegang borang keahlian BERSATU.
    Hari ini Khamis tanggal Disember 20. Seawal jam 4 pagi saya sudah berada di pasar Pilipin. Pasar yang asalnya dibina atas inisiatif UNHCR pada akhir 70an atau awal 80an. Tujuannya untuk menempatkan pelarian Filipina yang ingin berniaga. Hari ini hampir seratus peratus peniaga pasar borong itu adalah warga Filipina atau warga Indonesia. Walaupun berasal dari negara jiran, atas kemurahan hati kerajaan Malaysia terutama semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sebahagian besar warga asing di negeri Sabah telah menjadi warganegara Malaysia. 

    Selepas hampir 30 minit membeli Sayur dan bahan mentah yang lain saya bergerak ke pasar SAFMA yang jauhnya kira-kira 300 meter dari pasar Pilipin. Pasar SAFMA juga sebuah pasar borong ikan. Ikan dan hasil laut dari kapal SAFMA (Sabah Fish and Marketing) akan dipunggah di kawasan itu tidak jauh dari pasar ikan.  Seawal jam 2 pagi pasar SAFMA sudah mula beroperasi. Ikan yang dijual sedikit lebih murah berbanding pasar besar yang mula beroperasi 2-3 jam kemudian. Cuma kepada pelanggan baru mereka harus berhati2 memilih ikan kerana kebanyakan ikan disini telah di rendam cecair formalin. 

    Di sini seratus peratus peniaga adalah warga Filipina. Yang tinggal milik Sabah di kawasan ini hanya nama bangunan seperti bangunan SAFMA. Yang lain semua milik warga asing. Rakyat tempatan tiada pilihan terpaksa hidup dikalangan mereka. Daripada pengalaman, saya dapati warga Filipina kurang etika dalam perniagaan. Bukan semua, tetapi kebanyakan begitu. Hanya sebahagian kecil sahaja yang bersikap jujur dan amanah bila berurusan dengan pelanggan.

    Selepas hampir 1 jam di pasar SAFMA dan pasar besar KK saya balik ke restoran. Rutin setiap pagi ialah menyediakan rempah ratus untuk masak sup, masak dhall untuk roti canai dan menyediakan makanan lain untuk sarapan pagi. Restoran Pak Mus buka jam 6.45 pagi. Sudah tentu Nasi lemak Pak Mus menjadi menu utama disamping hidangan lain seperti mee goreng dan lain2 lagi. Jam 9 pagi saya mula masak gulai kawah, daging kicap, dan hari ini saya masak asam pedas ikan baulu atau dipanggil ikan susu di setengah tempat. Isteri dan pembantu tukang masak menyediakan masakan lain. Sekitar jam 10am tugas saya selesai dan mengadap screen untuk menulis.

    Saya baca akhbar Daily Express setiap pagi. Selama hampir 10 tahun saya tidak melanggan akhbar, tetapi sejak kerajaan baru saya kembali membaca akhbar tempatan dan nasional. Sekali lagi berita tentang kemasukan ahli-ahli UMNO termasuk MP yang keluar dari parti menjadi topik utama. Tun Mahathir membuat kenyataan tidak menerima kemasukan mereka dalam partinya PPBM secara membuta. 

    Kira-kira tiga minggu lalu Tun Mahathir melancarkan PPBM di Sarawak. Balik dari Sarawak, Pengarah Dasar parti itu Datuk Dr Rais Hussien datang ke Sabah. Kali ini mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan sekumpulan MP Umno dan beberapa MP lain dari parti komponen BN. Keputusannya MP Umno dan sebahagian besar Ketua Umno bahagian keluar parti. Sehari selepas itu  kelihatan gambar Datuk Hajiji Haji Nor dan bekas pemimpin kanan  Umno lain termasuk Datuk Azizah Dun dan Datuk Masidi Manjun sedang menerima satu fail dengan logo bunga raya iaitu logo PPBM. Gambar itu telah viral dan menjadi  topik perdebatan di Sabah. 

    Halaman utama akhbar Daily Express hari ini
    Tun Mahathir selepas itu membuat pula kenyataan PPBM tidak akan masuk ke Sabah tetapi mereka boleh menjadi ahli. Ramai yang keliru tapi saya tidak terkejut, jauh sekali keliru dengan tindak tanduk politik ala Machiavelli Tun Mahathir. Pada 1991 bila Tun Mahathir melebarkan sayap Umno ke Sabah, parti itu tidak masuk ke Sarawak. Orang Sarawak sekadar menjadi Ahli Bersekutu parti itu. Perkiraannya mudah, jika bahagian2 Umno di Sabah bergabung dengan 31 bahagian di Sarawak, perwakilan UMNO dari Sabah dan Sarawak boleh tentukan pemimpin2 UMNO diperingkat tertinggi parti termasuk jawatan Presiden dan bakal Perdana Menteri. Barangkali Tun Mahathir mengambil perkiraan yang sama dengan PPBM. 

    Sekarang sudah hampir jam 12 tengahari. Restoran mula sibuk. Saya terpaksa melihat persiapan di dapur. Kita sambung esok.
  • 2 party system tinggal angan-angan

    Wednesday 19 December 2018
    Hari Rabu tanggal Disember 19. Jam 4.30 sudah berada di pasar borong dan pasar besar KK. Prinsip saya membeli bahan2 mentah biar mahal sedikit tapi mesti segar. Saya ingat pesan arwah emak yang lebih 30 tahun dalam bidang makanan "ingat nak, kita sedia makanan yang kita juga makan bukan untuk itik makan".  

    Sebelah petang di Restoran Pak Mus saya kunjungi 2 pemimpin PKR, Hj Mustapha Sakmud dan Dikin Musah. Pada PRU13 saya yang cadangkan nama Mustapha sebagai calon PKR untuk kerusi DUN Usukan. 

    Dia meletakkan jawatan sebagai Pengurus Telekom Malaysia dengan gaji lebih 11k sebulan. Saya kagum dengan pengorbanannya. Tetapi setelah Pakatan Rakyat gagal pada PRU13 saya sedikit kesal dan rasa bersalah. Selama 5 tahun Mustapha struggle dalam parti pembangkang. Tetapi sungguhpun kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan namun dia tidak mengeluh malah terus aktif berkhidmat dengan rakyat di Kota Belud. Dalam PKR negeri dia dilantik sebagai orang no.2 sebagai Timbalan Pengerusi MPN. 


    Pada PRU lalu walaupun tewas kerusi DUN Tempasuk, rasa kesal saya terpujuk setelah parti yang didokong Mustapha telah menjadi kerajaan. Saya berharap pemimpin yang cekal seperti beliau akan diberi peranan penting dalam kerajaan. Hanya masa yang menentukan. 

    "Kenapa Pak Mus mau masuk Umno?" Tiba2 dia mulakan perbualan dengan soalan yang menyebabkan kami sama2 ketawa. 

    Saya seronok dalam pembangkang. Hakikatnya UMNO masih berpengaruh diperingkat akar umbi. Mempertahankan UMNO sebagai parti pembangkang yang kuat akan mencapai hasrat kita menjadikan demokrasi itu meriah dengan ujudnya two-party system dalam negara. Dalam proses menjadi negara maju,  check and balance dalam pentadbiran kerajaan amat mustahak. Malangnya cita-cita itu mungkin tidak tercapai.  Pemimpin UMNO terdiri daripada golongan Feudal atau serpihannya. Mereka sukar survived jika tidak berada dalam  kerajaan. 

    Apapun fitrahnya saya memang berjiwa pembangkang. Dulu sebagai Pemikir JASA pun saya begitu kritikal dengan kerajaan dan kepimpinannya. Ketika menjadi anggota kehormat Majlis Professor Negara,  pandangan saya kerap tidak senada dengan anggota lain. Biasanya dalam mesyuarat mesti saya bertengkar dengan Prof Ramlah Adam dalam isu2 berkaitan dengan sejarah dan hak2 Sabah serta MA63. Prof Ramlah termasuk Prof Khoo Kay Kim adalah antara professor yang terlalu fokus kepada Ketuanan Melayu dan kepentingan Kerajaan Persekutuan semata-mata. Saya selalu bangkit soal sukatan pelajaran sejarah  yang tidak menyentuh sejarah pembentukan Persekutuan MALAYSIA. Jika ada hanya sepintas lalu.

    "Saya pun kekok dalam parti kerajaan. Rasa mau join parti pembangkanglah Pak Mus. Di situ jiwa saya." Sampuk Mustapha dan sekali lagi kami ketawa. 

    Saya tidak kenal Dikin Musah. Saya cuma tahu dia pernah jadi calun PKR untuk Kerusi DUN Kuala penyu tapi tewas kepada Datuk Limus Jury. Tapi daripada pemerhatian saya Dikin mempunyai  karakter yang menarik. Pandangan  politiknya segar dan berfakta. Barangkali satu ketika dia akan berjaya menempatkan dirinya sebagai salah seorang pemimpin penting negeri Sabah. InsyAllah 

    Selepas beberapa ketika bersembang saya mohon izin untuk ke dapur. Kambing Masalla sudah diperap untuk masak. Kami bersalam. Jumpa lagi esok
  • UMNO kuasai Warisan?

    Tuesday 18 December 2018
    Hari ini Selasa Disember 18, tajuk utama akhbar2 tempatan mengenai mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas mengkaji MA63 untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak yang di pengerusi Perdana Menteri di Putrajaya. Mesyuarat itu turut dihadiri KM Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan KM Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

    Mesyuarat berkenaan memberi harapan baru kepada kedua2 negeri Borneo khususnys kepada aktivis dan pejuang hak2 Sabah dan MA63. Diharapkan selepas 6 bulan, JK Khas itu akan mengemukakan cadangan2 kepada kerajaan Persekutuan untuk pulihkan status kedua2 negeri Borneo.  

    Kelmarin, Isnin seperti biasa Restoran Pak Mus di Tanjung Aru Plaza  agak sibuk. Sebelah tengahari selepas membayar bil elektrik di Wisma SESB di Karamunsing saya bergegas balik ke restoran kerana ada kawan mau ajak sembang2. Banyak isu katanya. 

    Sekitar jam 4 petang, kawan itu tiba seorang diri. Dia mengambil tempat duduk di kerusi luar. Mana kawan kita? Saya menyapa dan bersalam. Saya tarik kerusi. Kejap sampai. Dia on the way. Jawapnya ringkas dan memesan teh halia. Tidak lama kawan seorang lagi sampai dan mengambil tempat duduk. Kedua2 mereka ini aktivis parti Warisan yang aktif. Salah seorang banyak membantu saya mengenai isu2 berkaitan FELDA Sabah. Maklumat2 yang dikongsi darinya telah didokumentasi dan menjadi sebahagian daripada kandungan buku DILEMA SABAH yang terbit 2014. 

    "Pak Mus tidak ulas kemasukan beramai2 ahli UMNO di Lahad Datu?"

    Apa yang menarik? Saya ingin tahu. Dia tidak terus menjawap kerana tiba2 kawan sebelah menyampuk "Mulai sekarang pemimpin Warisan mesti banyak duit, kalau tidak orang UMNO akan jadi Ketua Bahagian Warisan yang baru. Mereka lebih ramai dan lebih banyak duit". Kami ketawa serentak. Takkan tiada peraturan parti? Mungkin ada tempuh tertentu untuk ahli2 baru dibenarkan bertanding. Ayat saya seperti menyejukkan hati mereka.  

    Menurut kawan yang kebetulan hadir di Majlis kemasukan beramai2 ahli Umno, majlis itu seolah2 majlis UMNO. "Pemimpin dan ahli Warisan tenggelam". 'We are outnumbered' Pak Mus. Bayangkan pemimpin Umno yang masuk Warisan boleh berucap hampir satu jam. Manakala Pemimpin Warisan yang menerima kemasukan itu hanya berucap 10 minit sahaja. Apa yang paling merisaukan bukan sahaja perasaan penyokong2 asal Warisan tetapi perasan kaum2 lain yang telah memberi sokongan dan mengundi Warisan. Saya tahu ada taukeh Cina yang berkorban wang ringgit bantu Warisan. Begitu juga orang KDM. Mereka tidak minta apa2. Cuma mau lihat perubahan. Perubahan apa jika orang UMNO menguasai Warisan di masa terdekat ini? Saya difahamkan program2 begini akan dibuat di Sukau dan bahagian2 UMNO lain yang masuk Warisan. 

    Majlis seperti ini tidak harus dibanggakan kerana tidak menguntungkan Warisan.   Seolah2 kemenangan kami di curi parti UMNO. Saya cadangkan supaya majlis kemasukan ahli2 UMNO tidak perlu 'grand'. Cukup pemimpin dan wakil2 sahaja menyerah borang. Tidak perlu semua hadir penuhkan dewan. Kawan itu bersetuju.

    Cerita bersambung kepada cadangan saya supaya rumah bekas Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Mustapha yang terletak di belakang Tanjung Aru Plaza dijadikan Muzium Tun Mustapha. Mungkin kerajaan negeri perlu peruntukan 2-3 juta untuk perbaiki rumah yang semakin uzur itu. 

    Menurut kawan itu, perkara tersebut telah dimaklumi Datuk Seri Shafie Apdal dan usaha kearah itu akan dimulakan segera. Banyak lagi isu2 lain yang kami bincang tapi saya terpaksa cut short kerana mohon izin ke dapur  buat persiapan memasak untuk dinner. Hari ini izinkan Pak Mus belanja sebab tidak mahal. Jumpa lagi esok.
  • Adat Orang Politik

    Sunday 16 December 2018
    Hari ini Ahad tanggal 16hb Disember, Restoran Pak Mus cuti. Setiap Ahad yang jatuh pada minggu kedua dan minggu ketiga adalah 'off day'. Masa rehat untuk semua pekerja restoran. Sungguhpun restoran cuti cerita politik tetap berlaku diluar restoran. Di mana saya berada, disitu pasti ada isu2 politik hangat yang menjadi topik perdebatan dan perbincangan.

    Sabtu Disember 15, saya menerima banyak undangan majlis perkawinan dari saudara mara dan sahabat handai dari Kota Belud. Oleh kerana bergerak agak lewat dari KK, saya hanya sempat hadir satu majlis di Kg Labuan. Majlis anak saudara, anak perempuan Puan Baisah binti Datu Ghairullah. 

    Kehadiran jemputan agak luar biasa. Lorong masuk ke rumah sejauh lebih kurang 600 meter dari jalan utama kampung itu pula agak sempit. Satu lorong sahaja. Muat satu kereta. Jalan pun sudah lama tidak berturap. Jika musim hujan jalan akan dipenuhi selut dan lumpur. Biasanya setiap kali menjelang pilihanraya, jalan2 itu akan ditabur batu kerikil. Setakat itu sahaja untuk menggembirakan Pengerusi JKKK. Itulah antara pembangunan yang dibanggakan sebahagian penduduk kampung yang menjadi penyokong tegar kerajaan. Manakala bekalan air bersih masih ditahap chipsmore. Sekejap ada. Sekejap tiada. 

    Sejak sekian lama Kg Labuan agak terpinggir dari arus pembangunan daerah Kota Belud. Barangkali berpunca daripada itu sebahagian besar pengundi di kawasan itu tidak pro kerajaan. Saya masih ingat pada PRU 1986, arwah abang saya Jamlidi Hj Oli yang mewakili PAS dalam pertandingan kerusi parlimen Kota Belud, walaupun kalah secara keseluruhan tapi menewaskan undi calun BN, Maidom Pansai dalam Daerah Mengundi (DM) Kampung Labuan. Begitu juga keputusan pada PRU14, undi Warisan mengatasi undi BN di DM Kg Labuan itu.

    Sebaik meletakkan kereta di salah sebuah rumah yang sudi membuka pagar, saya berjalan kaki menuju ke kawasan rumah kakak sepupu saya itu. Kehadiran begitu ramai, menyebabkan makanan yang saya idamkan 'pecal kg labuan' sudah habis. Begitu juga lauk pauk yang lain. Yang tinggal ayam kari, ayam kicap, ayam kurma dan ayam goreng. 

    " Pemimpin UMNO ni kurang adat. Keluar tidak  bagitau kita di bawah. Kenapa USNO dulu panggil semua ketua2 cawangan, orang2 veteran politik, orang kampung untuk berbincang sebelum ramai2 keluar?" Saya dikejutkan dengan soalan yang menusuk jantung.

    Kota Belud tempat UMNO lahir di Sabah. Kami yang menangkan UMNO di Usukan (DUN Usukan). Selepas menang kami terus jadi keldai kepada pemimpin dan parti UMNO  mempertahan kawasan mereka. Apa kami dapat? Mereka yang jadi kaya raya.  Bila keluar senyap2 macam perangai  pencuri. Ada adatkah pemimpin begitu?

    Semakin tinggi suaranya berceramah. Saya tahu kata2 itu ditujukan pada saya walaupun ada 5 orang lain di meja bulat itu. Mereka cuma tahu angguk2 mengiyakan kata2 orang veteran UMNO dan USNO itu.

    Tapi parti USNO itu bubar dan semua ahli masuk  UMNO. Tidak sama dengan keadaan sekarang. UMNO tidak bubar. Hanya pemimpin2 keluar dan menjadi anggota Bebas. Takkan mereka bawa semua ahli UMNO jadi ahli Bebas? Saya cuba patahkan hujah untuk pertahan tindakan pemimpin2 UMNO Kota Belud. 

    Dia terus bangun. Seperti  pasang kuda2. Aikk.. takkan bersilat. Rupanya dia tambah bersemangat bila saya sebut USNO. 

    "Siapa kata USNO bubar?" Dua tangannya diangkat. Kalau bubar kenapa USNO boleh bergabung dengan PBS dalam kerajaan PBS-Plus? Semakin tinggi suaranya. Saya minta dia tuangkan saya air sirap sekadar untuk redakan suaranya. Dia ketawa. "Itu no kuling kau, siok no serita sooh nu nuang sirap" hahahaha. Dalam bahasa Bajau maksudnya tengah asyik cerita, kau potong stim.

    Rata-rata begitulah isihati golongan akar umbi parti UMNO di Kota Belud. Kawasan2 lain mungkin mempunyai sentimen yang sama atau berbeza. Saya tidak pasti. 

    Sekitar jam 3pm saya meninggalkan majlis menuju ke rumah saya di tepi pantai Kg Bua Pintasan. Jumpa lagi esok. Selamat berhujung minggu bersama keluarga.

  • Pemimpin Jadi Hantu Raya

    Saturday 15 December 2018

    Sabtu tanggal Disember 15, selepas balik dari pasar besar dan membuat food prep untuk breakfast, saya duduk sekejap menikmati kopi O dan sebatang rokok Dunhill Light. Sambil membaca Daily Express saya tertarik dengan headlines hari ini. Pertama kenyataan Tun Mahathir yang pertahan keputusannya menerima bekas pemimpin Umno menyertai Bersatu, walaupun keputusan itu kurang di senangi rakan parti komponen PH.

    "Orang Umno ada yang baik, pun ada yang jahat. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terimalah. Saya sendiri ahli Umno." Demikian kata PM. 

    "Kit Siang terima saya" ujarnya sinis terhadap kritikan DAP yang menuduh Tun Mahathir sebagai garbage collector. 

    Berita kedua ialah tentang satu spekulasi penubuhan sebuah parti politik tempatan menggunakan MA63 sebagai landasan perjuangan. Menurut akhbar itu, sumber rapat dengan bekas Menteri Luar, Dato Sri Anifah Aman memberitahu FMT Anifah tidak bercadang menyertai mana2 nasional parti berikutan pengalamannya sendiri ketika memperjuangkan hak2 Sabah dan MA63 kerap terganggu dan gagal mencapai objektif. 

    Dalam catatan kali ini saya bincang isu yang pertama dulu. Manakala isu kedua mengenai penubuhan parti yang bakal diketuai Anifah Aman, saya bincang kemudian setelah berita itu disahkan dan bukan sekadar spekulasi politik semata-mata. 

    Saya cerita dulu kisah  petang Jumaat kelmarin yang ada kaitan dengan isu pertama.  Kira2 jam 2.30 petang saya tiba di restoran. Kelihatan sahabat saya MP Govind duduk seorang sedang menikmati nasi dengan gulai kawah daging. Kami bersalam dan sembang2 tentang isu semasa yang melibatkan parti Warisan. Banyak isu menarik yang saya akan catat di lain keluaran. Di sebelah meja lima orang pemimpin Pemuda UMNO Kota Kinabalu sedang asyik menikmati hidangan tengahari. 

    "Bang, duduk sini sekejap" jemput mantan Ketua Pemuda KK sambil menunjuk kerusi kosong dihujung meja. Saya mohon izin dengan M.P. Govind dan pergi ke meja sebelah.  Saya salam satu persatu. Mereka berdiri waktu bersalam dengan saya sebagai  tanda hormat kepada orang tua dari mereka. Saya kagum sikap pemuda-pemuda ini. 

    Bahrin Karim saya telah kenal lama dan rapat dengannya lebih 10 tahun. Anak muda yang baik dan mempunyai pandangan politik dan idea yang menarik setiap kali berpeluang bersembang dengannya. Kali ini dia minta pandangan dan nasihat apa tindakan yang harus mereka, anak2 muda dalam UMNO lakukan setelah sebahagian besar pemimpin parti itu keluar beramai2 Selasa lalu. 

    Sebelum beri pandangan saya tanya kedudukan pemuda UMNO secara umum. Berapa ramai yang ikut keluar? Setakat ini kami masih kekal bersama parti jawap salah seorang. Bahrin juga kata mereka masih setia dengan UMNO. Says spontan kata teruskan bersama UMNO kerana yang keluar dari parti pun tidak tahu kemana halatuju mereka. 

    "Mereka ini telah meninggalkan bumi kerana bercadang untuk terbang ke langit, tapi pintu langit telah tertutup, mereka balik semula tapi bumi tidak lagi terima. Mereka terawang-awang dan merayau-rayau diantara bumi dan langit. Jadi apa mereka ini?. Hantu Raya?" Tanya Bahrin.

    "Jadi hantu bangkit!" Spontan seorang menjawap. Kami semua ketawa. 

    Pemuda sekarang perlu seorang yang dapat tunjuk direction kepada kami. Disamping jadi motivator. Mungkin Pak MO dapat join dan tubuhkan think tank yang fokus kepada persedian menghadapi PRU15. 

    Saya tidak menyatakan sebarang komitmen atau persetujuan tapi saya bersetuju supaya mind-set pemuda dan seluruh ahli UMNO terutama grassroots yang masih setia bersedia untuk menjadi pembangkang bukan untuk menyertai parti-parti lain. 

    Persedian mind-set itu amat mustahak untuk pulihkan semangat ahli supaya lebih bersedia untuk mendepani cabaran. Perjalanan untuk PRU15 masih jauh. Ia memerlukan ketahanan mental yang kuat. 

    Dengan ini kata-kata saya untuk menutup perbincangan. Saya mohon izin ke dapur untuk membuat persediaan rempah ratus untuk buat rempah sup/soto. Kami bersalam. Jumpa lagi esok. 
  • ADUN USUKAN DAN TEMPASUK SERTAI WARISAN ?

    Friday 14 December 2018

    Semalam tanggal Disember 13, Khamis, saya dapat panggilan telepon dari seorang pemimpin kanan Warisan. "Kami ada di Restoran Pak Mus."

    Saya bergegas turun dari bilik rehat ditingkat 2 bangunan yang sama. Jika ada orang politik mau jumpa, saya pasti melayan mereka sebagai kawan dan pelanggan.  Pemimpin itu datang dengan seorang ketua wanita Warisan bahagian. Mereka sedang menikmati hidangan Kambing Masalla dan Laksa Kari Nyonya bila saya mengambil tempat duduk di hujung meja. "Kami ada program dengan Datuk Shafie Apdal tadi. Selepas program tadi kami terus ke sini." katanya selepas kami bersalam.  

    "Tentu ada berita baik". Saya memancing cerita selanjutnya. Dia senyum. Senyuman seorang yang jujur. Saya kenal pemimpin ini sejak awal ketika sama2 aktif dalam UMNO dulu. Memang dia dikenali sebagai seorang yang baik dan lurus bendul. Daripada keluarga orang baik-baik.

    "Kelmarin Datuk Musbah ada disini?. Apa ceritanya?" Dia pula pancing saya.

    Jika menurut Adun Tempasuk itu kemungkinan mereka masuk PPBM kerana ada dua orang pemimpin PPBM hadir dalam mesyuarat. Tetapi kenyataan Tan Sri Muhyiddin tidak menunjukkan ada cadangan parti itu masuk ke Sabah. Dia berhenti sekejap. Wajahnya sedikit berubah. Dia mendekati saya seperti mahu berbisik.

    "Maklumat kami dapat tadi, Datuk Musbah dan Datuk Japlin sudah dihubungi Datuk Seri. Shafie. Mereka akan sertai Warisan". 

    Saya tidak terkejut dengan maklumat itu berikutan kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal bersedia menerima Adun dan MP Umno tanpa syarat. Sudah tentu persefahaman antara PPBM dengan WARISAN yang dibuat sebelum PRU 14 masih dihormati pucuk pimpinan tertinggi PPBM. Tan Sri Muhyiddin yang saya kenal tidak suka menyakiti hati kawan2. Dia seorang pemimpin yang tidak banyak politicking seperti Tun Mahathir atau Anwar Ibrahim. 

    Saya setuju Adun-Adun dari UMNO sertai Warisan. Mereka boleh berkhidmat lebih berkesan di peringkat negeri. Anggota MP boleh menunggu dan terus buat bargaining power dengan parti-parti nasional.  PPBM mungkin akan masuk ke Sabah. Soal bila bergantung kepada perkembangan politik di peringkat Persekutuan. Dalam pada itu para MP Sabah boleh juga sertai parti  Amanah sungguhpun parti itu kurang popular dan kurang diminati di sini.  PKR pula fokus kepada agenda untuk pembaharuan. Presidennya sudah mengeluar kenyataan menutup pintu.  

    Senario itu bagaimanapun boleh berubah jika benar-benar terdapat persaingan antara PKR dan PPBM di masa akan datang. Buat masa ini PPBM yang mempunyai 13 kerusi mengetuai PH dan memegang jawatan PM.

    Saya minta diri untuk ke belakang melihat persediaan membuat rempah soto. Kita sambung esok. Selamat menjamu selera.
  • Kenapa terkejut bila Pemimpin UMNO keluar parti ?

    Thursday 13 December 2018
    Pertemuan Musa dan beberapa pemimpin UMNO beberapa hari sebelum keputusan keluar daripada UMNO diumumkan semalam
    Cerita petang semalam dari Restoran Pak Mus di Tanjung Aru. Saya berada di luar untuk manjakan  diri.  Sudah lama tidak buat 'pedicure' dan urut kaki. Selepas itu saya lepak di kedai Mamak di Kepayan Ridge sementara tunggu kereta sedang dicuci. Baru separuh gelas nescafe tarik, saya terima Whatsapp dari seorang kawan. "Kami di Restoran. YB cari Pak Mus". 

    Setiba di Tanjung Aru Plaza, lebih kurang 20 orang pemuda UMNO Kota Belud sedang makan kambing masalla, laksa kari Nyonya dan lain hidangan. Turut bersama YB Musbah Jamli, ADUN Tempasuk merangkap Timbalan Ketua UMNO Kota Belud. Saya bersalam dengan mereka.  

    "Kami dari Hilton Pak Mus. Sekarang ni bingung parti mana mau ikut" kata seorang yang rapat dengan saya.

    "Kompom sudah bah kita masuk BERSATU" Seorang menyampuk. Kalau tidak buat apa pemimpin BERSATU hadir. Dia merujuk kepada dua orang pemimpin PPBM. Salah seorang darinya adalah Exco negeri Melaka.

    Saya tidak terkejut dengan tindakan pemimpin Umno Sabah keluar beramai-ramai termasuk 13 wakil rakyatnya. Spekulasi tentang perkara itu telah tersebar luas sejak seminggu dua yg lalu. Saya juga menulis mengenainya minggu lalu dalam FB dan blog ini berikutan pertemuan wakil-wakil rakyat UMNO di rumah bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman minggu lalu. 

    Mungkin pemerhati politik dari  Malaya yang kurang memahami politik Sabah, mereka terkejut beruk dengan berita ini. Tetapi di Sabah ia adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi. Saya telah banyak studi  sejarah politik negeri Sabah. Menulis beratus artikel dan puluhan buku politik. Sudah masak dengan sikap dan perangai pemimpin-pemimpin politik lalu yang telah menjadi ikutan dan trend politik sehingga hari ini. 

    Apa yang baru dengan  tindakan pemimpin-pemimpin UMNO? Tindakan keluar beramai-ramai 'en-masse' merupakan satu budaya politik di Sabah. Orang Sabah kata budaya  "politik katak" melompat dari kolam kering ke kolam berair. Ini dilakukan YB Madius Tangau dan Adun-Adun UPKO pada subuh keputusan PRU14. Tindakan mereka hampir mencetus krisis perlembagaan bila dua ketua menteri dilantik dalam tempuh kurang seminggu. 

    Nama parti  UPKO memang sinonim dengan tindakan keluar beramai-ramai. UPKO dulu dengan UPKO sekarang mempunyai sejarah yang hampir sama. Sejarah bermula sebaik sahaja pilihanraya negeri yang pertama pada 1967. Seperti yang berlaku sekarang, ia juga berlaku kira-kira tujuh bulan selepas pilihanraya. Parti  UPKO yang menerajui pemerintahan negeri sejak merdeka tewas dalam pilihanraya 'free for all' dikalangan anggota komponen Sabah Alliance. 

    Dalam pilihanraya itu Parti USNO menang 14 kerusi, UPKO 12 kerusi, SCA 5 kerusi dan 1 kerusi di menangi calon Bebas daripada 36 kerusi DUN Sabah. Sebuah kerajaan baru Sabah Alliance USNO-SCA tertubuh. Walaupun UPKO juga anggota komponennya, presiden USNO dan Ketua Menteri Sabah yang baru, Tun Mustapha tidak melantik wakil dari UPKO dalam kerajaan barunya.  Walaupun begitu dua (2) kerusi kabinet dibiar kosong untuk menarik ADUN dari UPKO menyertai USNO. 'Pancingan' itu berjaya bila ADUN Kiulu, YB Payar Juman melompat menyertai USNO dan dilantik sebagai menteri kebajikan masyarakat. Tindakan wakil Kiulu yang diikuti beberapa orang pemimpin kanan UPKO menyebabkan Tun Stephens membubar UPKO pada Oktober 1967 dan semua ahli parti itu  diserap menjadi anggota USNO.

    Jika lihat sejarah parti-parti politik di negeri Sabah, hanya parti USNO yang bertahan lama sebagai  parti pembangkang. Sejak tewas dalam pilihanraya negeri 1975, USNO bertanding sebagai parti pembangkang pada pilihanraya 1981, 1985, 1986, 1990. Satu tempuh hampir 20 tahun sehingga parti itu bubar pada 21hb Februari 1991 bila UMNO masuk ke Sabah.

    Berbeza dengan USNO, parti PBS hanya mampu bertahan satu penggal. Bertanding sebagai parti pembangkang pada Pilihanraya negeri 1999. Setahun selepas itu menyertai semula kerajaan dgn menyertai BN.

    Kita sambung esok, saya terpaksa ke dapur untuk marinated daging kambing untuk di masak jadi Masala Kambing sekejap lagi.
  • BAJAU DAN POLITIK SABAH

    Tuesday 11 December 2018

    Dalam sejarah politik Sabah, Masyarakat Bajau merupakan masyarakat bumiputera terawal mempunyai kesedaran politik selepas Masyarakat KDM. Dalam sejarahnya masyarakat atau rumpun Bajau tidak pernah terpisah dalam perjuangan politik yg berteraskan perjuangan berlandaskan Islam. 

    Bermula dengan parti USNO, sehinggalah parti itu dibubarkan dengan kemasukan UMNO pada 1991. Tidak dapat dinafikan, sepanjang tempuh itu muncul beberapa pemimpin Bajau dan kumpulan kecil yg menyokong parti2 lain seperti BERJAYA (1976-1985) dan kemudiannya PBS (1985-1994) namun secara umum masyarakat Bajau sentiasa berada dalam satu bahtera politik.

    Di samping perpaduan dalam parti politik, kaum Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur juga sentiasa mengekalkan perpaduan melalui NGO seperti Persatuan Sabah Bajau Bersatu atau PSBB yang ditubuhkan pada 1965. PSBB kemudiannya bertukar menjadi USBO dua tahun lalu dibawah pimpinan Tan Sri Pandikar Amin Hj PaMin Padila Mulia. Saya teringat ketika mesyuarat agung PSBB tahun 1986 bila berlaku pertandingan pucuk pimpinan tertinggi
    PSBB.

    Presiden Datuk Seri Salleh Said dicabar Tuan Haji Laugan Terki (Allahyarham) manakala jawatan timbalan presiden dipertandingkan antara seorang tokoh Bajau dari Kota Belud, Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin (Datuk) dengan Shafie Apdal (Datuk Seri Panglima) dari Semporna.

    Pada ketika itu saya salah seorang Ahli Majlis Tertinggi PSBB dilantik jawatan Penolong Setiausaha Agung. Secara senyap2 saya berkempen untuk Shafie Apdal kerana mahu melihat kepimpinan PSBB tidak dibolot kelompok Bajau dari satu kawasan sahaja iaitu Pantai Barat. Sungguhpun begitu sebagai menghormati pakcik saya, Datu Tigabelas dan supaya tidak kelihatan terlalu memihak kerana jawatan sebagai AMT, saya tidak berkempen secara terbuka.

    Bertitik tolak dari situ Datuk Seri Shafie Apdal terus bersama-sama dalam kepimpinan PSBB dan kemudiannya USBO sehinggalah berlaku perpecahan dalam NGO itu berpunca daripada tindak tanduk politik "divide and rule" yang tujuannya semata-mata untuk melemahkan perpaduan masyarakat Bajau yang merupakan tunjang kekuatan UMNO di Sabah pada ketika itu.

    Saya akan tulis panjang lebar mengenai siapa dibelakang perancangan divide and rule itu dalam catatan berikutnya kerana tulisan ini fokus kepada perbincangan politik Bajau secara umum.

    Sejak merdeka rumpun Bajau telah menjadi Ketua Menteri sebanyak enam kali dengan 6 orang daripada 15 orang yang pernah jadi Ketua Menteri Sabah. Bermula dengan Tun Mustapha (1967-1975) Tun Said Keruak (1975-1976) Tun Sakaran (1994-1995), Datuk Salleh Tun Said (1995-1996), Datuk Osu Sukam (2000-2002) dan sekarang Datuk Seri Panglima Shafie Apdal (Mei 2018 - sekarang).

    Sepanjang tempuh itu perpaduan politik Masyarakat Bajau - Pahlawan Di Laut, Perwira Di Darat sentiasa kukuh hingga ke hari ini. Terbukti pada PRU lalu, walaupun berpecah masyarakat Bajau terus dominan dalam menentukan kuasa politik di Sabah.

    Mohon izin ke dapur mau masak dhall untuk cecah roti canai. Kita sambung esok.

  • BAJAU PANTAI BARAT SEPERTI MELUKUT DALAM KERAJAAN WARISAN.

    Monday 10 December 2018

    Sabtu, tanggal 8hb Disember. Acara- majlis perkawinan anak saudara bertempat di Kg Pirasan Kota Belud. Kebetulan dalam satu meja berkumpullah orang-orang politik termasuk ketua bahagian WARISAN Kota Belud dan dua orang pegawai kanan kerajaan yang telah jadi MP. Makan Pencen. Cerita mulanya berkisar tentang pemimpin Bajau termasuk ketua-ketua Jabatan yang self centred, yang hanya fikir jawatan dan kedudukannya tapi kurang membantu bangsanya sendiri. Termasuk dalam cerita itu mantan ketua-ketua jabatan yang telah bersara. Sekarang kalau duduk di majlis pun tiada orang yang mau temankan. Duduklah terkebil-kebil seorang. Bersalam pun orang malas.
    Saya menyampuk. Tidak semua begitu dengan menyebut beberapa nama pemimpin Bajau yang pernah jadi ketua jabatan serta banyak membantu orang Bajau dan Irranun. Terutama YB Datuk Uda Sulai semasa jadi Setiausaha PSC. Begitu juga dengan Datuk D13 dan arwah Talikop Lamsin.
    Menyebut nama Uda Sulai, cerita terus melarat kepada kedudukan orang Bajau dari Pantai Barat dalam barisan kepimpinan negeri Sabah. Antara paling vokal ialah Saudara Surim bekas pegawai di Kementerian Kewangan.
    "Tiada seorang pun pemimpin Bajau dalam barisan kabinet negeri Sabah. Tiada yg layakkah?"
    Buku Bajau Pahlawan di Laut, Perwira di Darat
    "Punca sebenar kerana tiada wakil Bajau kita yang menang dalam pilihanraya" Tiba2 Ketua WARISAN menyampuk. Semua mata tertumpu kepada saudara Hanjan Samit.
    Kenapa tidak lantik saudara jadi Nominated ADUN? Atau lantik pemimpin Bajau dari Tuaran, Kudat, Papar dan lainlain kawasan Pantai Barat? Setahu saya ramai pemimpin Bajau yang aktif menyokong Warisan? Spontan saya menjawap. Hanjan tersenyum. Apa lagi dilantik jadi nominated YB, apa jawatan pun dia belum dilantik. Simpati dengannya.
    "Siapa cakap tiada pemimpin Bajau Pantai Barat menang? Uda Sulai menang lawan TKM di Petagas. Tapi dilantik pembantu menteri sahaja. Kenapa tidak lantik menteri penuh? Dia bukan tidak layak. Cukup berpengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan." Kali ini suara Surim lebih tinggi....
    Perbincangan yg semakin hangat tiba2 terhenti bila saudara Abd Karim Erang pegang microphone dan menyanyi dengan suara yg hampir pecahkan gegendang telinga....
  • ANWAR BIJAK. TAPI TIDAK SEBIJAK TUN MAHATHIR

    Sunday 9 December 2018


    Hari ini Ahad tanggal 9hb Disember restoran Pak Mus buka mulai jam 10am. Setiap Ahad minggu pertama dan minggu keempat kami buka. Minggu kedua dan minggu ketiga off day. Rehat untuk semua pekerja.   Hari ini ramai  pelancong dalam negeri. Sempat berkenalan dengan SUSK Dr Hatta Ramli. Dia tertarik dengan buku2 saya yang tergantung didinding Restoran. 

    "Ini Pak Mus ya?" Dia tegur saya yang kebetulan sedang berdiri di belakang counter. 

    Saya mengangguk. Kami bersalam.  "Semua buku ini Pak Mus tulis".  Matanya tertumpu kearah buku paling atas sebelah kanan. Buku bertajuk 'KENAPA SAYA TINGGALKAN UMNO?' terbit tahun 2011. Saya mengiyakan. 

    Sebelum PRU13 Dr Hatta Ramli, kerap datang ke Kota Belud dan kami berucap diatas pentas yang sama. Masa itu Dr Hatta merupakan pemimpin kanan dan Pengarah Strategi PAS Pusat dan saya Timbalan Ketua Penerangan PKR Sabah. 

    "Oooh...Pak Mus ni orang politik juga". 

    Sebenarnya saya sekadar  aktivis dan penulis politik sahaja. Tapi pada 2011, bila saya menyertai PKR,  Pengerusi MPN ketika itu saudara Thamrin Hj Zaini pujuk saya untuk terima lantikan sebagai Anggota MPN Sabah kerana parti perlu aktif memberi penerangan melalui laman sosial.  Saya terima dengan perasaan berbelah bahagi tapi melaksana tugas itu dengan penuh tanggungjawap.

    "Bagaimana peluang Anwar Pak Mus?" Tiba-tiba kawan sebelahnya mengaju persoalan. Soalan yang berat. Saya tersenyum dengan dan mengajak mereka berdua duduk semula.  

    Sebenarnya Anwar telah selamatkan politik Tun Mahathir sejak dia dijemput menyertai UMNO pada 1982. Anwar lah yang diberi peranan utama menjatuhkan saingan Tun Mahathir. Bermula dengan Tengku Razaliegh. Selepas itu Musa Hitam. Dalam proses itu Anwar menjadi seorang yang cukup berpengaruh tapi tidak cukup untuk mengganti tempat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.  

    Bila kali pertama Anwar berpeluang jadi Perdana Menteri? Siapa orang  yang menutup peluang Anwar itu?  Saya seperti bertanya. Mereka tidak menjawap. 

    Anwar sepatutnya jadi PM pada tahun 2000. Itulah janji Mahathir setiap kali dia berucap atau ditanya pemberita.  Tetapi dua tahun sebelum  itu Anwar telah dipecat dan dipenjarakan.  Pada 2013 sekali lagi Anwar berpeluang jadi PM  bila menjadi Ketua Umum dan mengetuai Pakatan Rakyat pada PRU13. 

    Orang yang jadi penghalang sebenar bukan Najib. Bukan UMNO. Tetapi Tun Mahathir. Dia yang berjaya meyakinkan orang Melayu untuk kekal bersama UMNO dan BN. Dia juga berjaya mrmpengaruhi kakitangan kerajaan dan agensi2 kerajaan untuk mengekalkan kerajaan pimpinan Najib yang baru ambil alih jawatan PM dari Tun Abdullah Badawi yang meletak jawatan kerana desakan daripada Tun Mahathir. 

    Antara buku yang dihasilkan penulis yang dipaparkan di Restoran Pak Mus

    "Biar betul Pak Mus" mereka serentak mahu kepastian. Sebelum PRU14, Tun Mahathir telah membaca mood rakyat. Dia tahu kearah mana kecenderungan rakyat. Jangan terkejut kalau saya kata Tun Mahathir sebenarnya peminat tegar Rafizi Ramli sejak PRU13 lagi. Tun mengikuti INVOKE dan mendapat cukup input daripadanya secara tidak langsung. Saya percaya tanpa Tun Mahathir  dan PPBM, Pakatan Pembangkang yang di ketuai Anwar dari Sungai Buloh boleh menang PRU14.  Tetapi Tun Mahathir lebih bijak mengatur strategi politik daripada Anwar. Dia bijak buat provokasi sehingga PH tidak boleh didaftar dan memilih simbol PKR  kerana Tun Mahathir tahu Melayu lebih bersedia undi PKR dari DAP. Siapa sangka Tun boleh hadir dimahkamah dan masuk ke dalam penjara Sungai Buloh semata-mata untuk dapat restu dan persetujuan Anwar?

    Anwar sepatutnya jadi Perdana Menteri sebaik sahaja PRU 14 tanpa kelibat Tun Mahathir dalam politik negara. Wan Azizah boleh pangku jawatan PM sementara menunggu Anwar dapat pengampunan dari YDA dan menjadi Ahli Parlimen. Semua perancangan Anwar tetapi berjaya dipintas Tun Mahathir. Anwar terpaksa menunggu lagi..

    Saya mohon ke dapur untuk masak sambal Nasi Lemak Pak Mus. Kami bersalam dan berjanji untuk sambung lagi...
  • KAUM PENDATANG VS ORIGINAL SABAHAN

    Saturday 8 December 2018
    KETUA MENTERI Mohd Shafie mendapati kira-kira 90 peratus masalah rakyat adalah berkaitan tanah selain ada juga membabitkan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) dan masalah surat beranak yang tidak dapat dikeluarkan kerana tiada surat nikah menerusi Program Jelajah Negeri yang diadakan di Semporna pada ogos lalu.

    "Setiap perumahan rakyat, (PPR) baik yang lama maupun projek baru, kalau ada 'original Sabahan', jumlahnya tidak sampai 20%. Kalau ada tanah baru diteroka atau dibuka secara haram untuk jadi kawasan setinggan hampir 100% orang mereka. Di mana kita? Di mana original Sabahan?"

    Dia menyedut rokok. Wajahnya serius. Nasi goreng Liking yang dipesannya diletak tepi meja. Makanlah dulu. Saya pelawa. Tak apa Pak Mus. Habiskan rokok dulu. 

    "Kelmarin Ketua Menteri keluar arahan kepada GLC supaya tidak mengambil tanah yang telah diduduki rakyat. Pak Mus tahu apa maksudnya?" Saya tidak menjawap. Saya mahu dengar hujah seterusnya.

    Begini Pak Mus. Tanah-tanah yang dimiliki GLC negeri dan GLC Persekutuan bukan terletak di kawasan kampung. Kalau ada tanah GLC di kawasan kampung, kawasan-kawasan itu tidak diceroboh. Jarang sekali orang kampung masuk tanah milik Yayasan Sabah atau milik SEDCO. Ada kes-kes terpencil di Pedalaman. Tapi kebanyakan tanah GLC dalam kawasan bandar atau pinggir bandar. Kawasan Likas, Inanam,  Menggatal, Kepayan, Putatan, hingga Tuaran dan Papar.  

    Saya melihat kenyataan Datuk Shafie Apdal seperti menjemput orang-orang Sabah Baru ini  membuka lebih banyak kawasan setinggan di kawasan bandar dan pinggir bandar. 

    Sekali sekala saya menyampuk sekadar mengiyakan hujahnya.  Nasi goreng depannya sudah mula sejuk. Saya minta pelayan ambil untuk goreng kemudian. Dia mengangguk tanda setuju. 

    Kawan saya ini baru pencen sebagai pegawai kanan. Sudah jadi MP boleh lah bersuara lantang macam Pak Mus. Makan Pencen katanya. Hahahaha. 

    Pada 3hb Disember 2018 saya membaca laporan NST. Sejumlah 57,911 pemegang MyPR diberi status warganegara antara 2008 hingga September 2018. Demikian kata Timbalan Menteri KDN, Dato Mohd Azis Jamman dalam jawapan kepada soalan lisan daripada Wakil Kangar dalam Dewan Rakyat. Katanya lagi sejak PH mengambil alih kerajaan pada Mei sejumlah 1244 telah diberi status warganegara. Bagaimanapun jumlah itu telah menimbulkan persoalan dan polemik  terutama dikalangan golongan akademik.

    Prof James Chin dari Monash University Australia menulis mengenai perkara ini. Dia merujuk kenyataan seorang saksi, seorang  pegawai Jabatan Pendaftaran dalam Laporan RCI Sabah 2014. Kata saksi itu sebanyak 600,000 kad pengenalan dan 200,000 surat beranak dikeluarkan untuk imigran dari Filipina dan Indonesia. 

    Lalu dia mempersoalkan jumlah yang di berikan KDN. Katanya sesuatu yang benar itu adalah 'rare comodity' dalam negara ini. 

    Saya juga meragui cadangan kerajaan negeri Sabah untuk mendaftar penduduk tanpa dokumen yang diumum baru2 ini. Apakah kewajaran tindakan itu? Jika sekadar untuk mengetahui jumlah mereka, saya  mencadang supaya kerajaan melalui PDRM daftar semua perompak, lanun, pencuri,  pengedar dadah dan penjenayah lain mendaftar diri supaya jumlah mereka kita tahu. Apa bezanya orang masuk ke negeri ini secara haram dengan golongan penjenayah? Apakah mereka akan sukarela mendaftar diri?

    Sebaiknya kerajaan negeri mengadakan kempen mendaftar penduduk asli atau ORIGINAL SABAHAN bukan penduduk tanpa dokumen.  Saya percaya kempen seperti ini lebih bermenfaat untuk kerajaan merancang pembangunan. Kerajaan boleh aktifkan peranan Ketua Kampung, Pengerusi JKKK dan pejabat dareah mendaftar penduduk asli negeri Sabah yang saya yakin boleh dilakukan dalam tempuh 6 bulan.
  • ANTARA PARTI LOKAL DAN PARTI NASIONAL

    Friday 7 December 2018

    Salam Jumaat dari Restoran Pak Mus. Cerita malam tadi berkisar kepada polemik antara LOKAL parti dengan NASIONAL party. Malam tadi agak sedikit sunyi. Tidak meriah seperi malam-malam biasa. Maklumlah malam tadi ramai orang politik membunuh syaitan. 

    Meja di luar restoran agak lengang. Hanya dua  meja bersambung dengan 5 orang politik sedang hangat berdebat. Saya mulanya hanya perhati sahaja gelagat mereka dari jauh. Saya sedang melayan perasaan risau dengan kenaikan harga kos bahan bahan mentah untuk operasi restoran yang semakin meningkat. Kos bahan mentah menyumbang lebih 60% kos operasi. Baki 40% lagi termasuk sewa kedai, gaji pekerja, api dan air. Minggu lalu Ais cube naik harga 10%. Kata pembekal terpaksa naik harga kerana SST. Lada kering, rempah-rempah juga naik harga lebih 10%. Mungkin berpunca daripada SST juga atau kejatuhan ringgit. Atau kombinasi kedu-dua2 faktor tersebut. Saya tidak fikir berpunca daripada kenaikan gaji sektor awam atau swasta. Setakat malam tadi saya belum dengar pengumuman kenaikan gaji yang dikatakan punca sebenar kenaikan kos sara hidup dalam negara. Lamunan saya terhenti.

    "Pak Mus! Tidak selesai ini hal kalau kau tidak ikut kupi2" Jerit seorang yang kenal rapat dengan saya. 

    Saya menghampiri meja dan bersalam. "Nah, semua ada wakil sudah ni. Satu Umno, dua Warisan dan dua PKR" saya bergurau. 

    "Pak Mus banyak menulis mengenai hak-hak Sabah dan MA63. Cuba jelaskan parti politik mana yang lebih effektif perjuangkan perkara itu" Tanya kawan dari PKR. 

    "Mestilah lokal parti" sampuk kawan dari Warisan. 

    "Kau diam! Bukan kau kena soal". Semua ketawa. Saya tidak terus menjawap soalan. Sebaliknya saya beri sedikit latarbelakang sejarah parti2 politik yang memperjuangkan hak2 Sabah. Bermula dengan Tun Stephens melalui  UPKO, Tun Mustapha dengan USNO, Pairin dengan PBS, Parti UMNO dan sekarang WARISAN. 

    Saya tidak sebut parti BERJAYA kerana parti tiada sejarahnya memperjuangkan hak-hak Sabah sebaliknya menyerah Pulau Labuan kepada kerajaan Persekutuan secara FREE tanpa sebarang pampasan. Pemimpin BERJAYA juga bertanggungjawab menyerah hasil minyak kerana Tan Sri Harris yang tandatangani perjanjian bagi pihak negeri Sabah dengan Petronas. 

    "Nah kan Parti BERJAYA tu parti lokal bukan parti Malaya!"  Tiba2 rakan dari UMNO menyampuk. 

    "Kau pun diamlah!" Kata kawan dari Warisan.  Hahahaha sekali lagi kami semua ketawa. 

    "Sambung Pak Mus. Kau bising lagi terbang ini udang dengan kambing!" Sekali lagi kami ketawa. 

    Baru-baru ini PPBM dilancar PM di Sarawak. Apa mesejnya? Saya seperti bertanya. Tapi semua diam. Tiada menjawap soalan saya. Sebab apa sedangkan ada PBB dan Gabungan Parti Sarawak yang government friendly? Apakah pemimpin Persekutuan tidak iktiraf lokal parti terutama dalam isu2 yang berkaitan dengan hak-hak negeri?

    Sebelum PRU parti PPBM telah membuat perjanjian atau persefahaman dengan Warisan bahawa parti itu tidak akan masuk ke Sabah. Tapi sejauh persefahaman itu dihormati hanya masa yang menentukan kerana saya difahamkan beberapa orang wakil rakyat dari UMNO dan PBS telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PPBM  baru2 ini. 

    Percayalah Putrajaya tidak akan membiarkan sebuah lokal parti yang kuat untuk bertapak lama di Sabah. Lihat apa yang berlaku pada  USNO, BERJAYA dan PBS.  Strategi yang sama akan digunakan di Sarawak bila pemimpin2 Sarawak lebih berani bersuara menuntut hak2 negeri. Strategi divide and rule akan lebih effektif terhadap lokal parti berbanding nasional parti.

    "Kenapa lebih effektif dengan lokal party tapi tidak dengan nasional parti Pak Mus?" Hampir serentak mereka bertanya. 

    Pemimpin lokal parti kurang bargaining power dalam menentukan pucuk pimpinan parti dan negara berbanding dengan nasional parti. Sebagai contoh dalam UMNO dan PKR. Perwakilan dari Sabah mempunyai kuasa menentukan siapa presiden parti. Presiden parti adalah bakal Perdana Menteri. Manakala perwakilan parti2 tempatan tiada kuasa memilih pemimpin di peringkat Persekutuan. 

    Memang benar pemimpin parti tempatan tidak dipilih pemimpin Persekutuan dan mereka lebih bebas bersuara seperti Abang Jo dan Shafie Apdal. Tapi tidak bermakna KL tidak boleh pulas telinga mereka sepertimana mereka lakukan kepada Tun Stephens, Tun Mustapha, Harris Salleh dan Pairin.

    Saya tidak buat kesimpulan atau jawapan parti mana yang lebih effektif perjuangkan hak2 Sabah dan MA63. Terpulanglah kepada pembacaan masing2. 

    Saya meninggalkan mereka kerana ada tugas di dapur. Kami bersalam. "Terima kasih Pak Mus" serentak mereka bersuara.
  • ANTARA ANWAR DAN NAJIB

    Thursday 6 December 2018

    Salam Khamis dari Restoran Pak Mus. Malam tadi YB, dan blogger datang makan Laksa Nyonya Udang Galah dan Kambing Masalla. Seperti biasa saya dihubungi terlebih dahulu. Cadangan main chess di KK saya batal dan kembali ke restoran di Tanjung Aru Plaza. Mesti layan tetamu yg merupakan kawan dan pelanggan tetap. Malam ini YB cerita tentang ekonomi negara yg semakin teruk. Saya mengiyakan sahaja sebab ekonomi saya lagi teruk dan merudum dari ekonomi negara.

    Masuk bab politik, idea YB Datuk semakin menarik. "Sepatutnya Najib kekal presiden UMNO. Kita boleh bangkit semula. Hari2 kita buat demonstrasi. Rakyat susah. Mesti mereka sokong! Pendapatan negara jatuh teruk. Harga komoditi merudum. Saya ingat dalam 2 tahun kita balik berkuasa." Kata2 YB penuh semangat.

    Kenapa Najib baru rakyat bangkit Datuk? Kenapa tdk Zahid, Ku Li atau KJ? Saya ingin tahu.

    "Masa Najib rakyat senang. Byk aktiviti ekonomi. Bisnes maju. Restoran siang malam penuh". Ada kebenarannya.

    Bagaimana pula skandal dan kes Najib? Saya buat pancingan.

    "Alaaaa...Tuduhan2 keatas Najib semua tidak benar. Konspirasi politik. Tuduhan keatas Anwar dulu pun begitu juga. Kalau Anwar dulu rakyat boleh memberontak, kenapa tidak sekarang? Kita buat mcm reformasi."

    Datuk semakin yakin dgn hujah2nya. Kambing satu mangkuk sdh licin. Seekor udang galah di kopek dgn sudu dan garpu. Saya mendengar sahaja. Tidak sampai hati patahkan hujahnya. Saya bimbang udang besar dalam mangkuk Laksa Kari Nyonya tu melompat keluar kalau saya bantah...

    Sebenarnya saya mau cakap perbandingan Anwar dan Najib sama seperti membandingkan seekor Kambing dengan seekor Udang. Tuduhan keatas Anwar bukan sahaja sukar dipercayai penyokong2nya dan rakyat negara ini tapi juga pemimpin2 dunia seperti USA, Britian, Australia dll. Naib Presiden USA AL Gore datang ke Malaysia, dan dlm ucapannya secara terbuka menyokong reformasi. Begitu juga Albright, Secretary of State USA. Kes Najib dan 1MDB? Selain USA melalui DOJ, negara2 lain seperti Switzerland, Hongkong, Australia, Singapura turut melakukan siasatan dan pendakwaan.

    Yang paling mustahak sewaktu di tuduh Anwar tidak mengetuai sebuah parti politik dan tidak mengetuai kerajaan. Manakala Najib adalah presiden parti dan Perdana Menteri. Dia lah yg dianggap punca kepada kejatuhan sebuah kerajaan yg telah memerintah lebih 60 tahun...jom kupi2 bilang Bin Mantar.

    Anggaplah catatan ini merupakan iklan menu Kambing Masalla dan Laksa Kari Nyonya Udang Galah