Singgah ke Restoran Pak Mus

Recent Posts

  • Pelarian Perang dan Pelarian Ekonomi

    Thursday 18 April 2019
    Akhbar tempatan melaporkan Kerajaan Negeri Sabah sedang mengenalpasti pulau untuk menempatkan  pendatang tanpa izin (PTI) dari terus memasuki sempadan Sabah
    1. Pada awal 60-an sehingga 70-an rakyat Filipina yang datang ke Sabah merupakan pelarian perang atau pelarian politik berikutan keadaan Selatan Filipina yang kerap bergolak dan peperangan kerap berlaku sehingga mengorbankan ramai rakyat terutama beragama Islam menjadi mangsa perang. Kerajaan Malaysia dengan kerjasama PBB membuka pintunya melalui Sabah menerima pelarian atas dasar peri kemanusiaan. Sebuah pulau di Sandakan dijadikan penempatan sementara kaum pelarian Filipina. Pulau itu turut dikendali UNHCR (United Nation High Commissioner For Refugees). Presiden Filipina, Ferdinand Marcos pernah menuduh Malaysia menjadi dalang pemberontakan di Selatan Filipina dengan menyediakan sebuah pulau sebagai pusat latihan untuk tentera MORO. Tuduhan yang dinafikan kerajaan Malaysia dan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh membawa Marcos melawat dari udara dengan Helikopter sewaktu lawatan presiden Filipina itu pada tahun 1980. Marcos akhirnya menarik tuduhannya.

    2. Di samping pulau itu beberapa penempatan baru dibuka kerana jumlah pelarian bertambah ke angka ratusan ribu pada awal tahun 80-an. Di Kota Kinabalu UNHCR juga turut menyediakan sebuah pasar berhadapan kompleks Sinsuran untuk golongan pelarian berniaga selain menyediakan perumahan sementara di Kinarut dan kawasan lain. Perbelanjaan kemudiannya ditanggung kerajaan Sabah. Bagaimanapun pada akhir tahun 80-an dan awal 90-an, kehadiran rakyat Filipina di Sabah bukan lagi kerana faktor peperangan atau politik negeri asal mereka tapi kerana faktor-faktor lain. Ini termasuk faktor kepentingan politik parti-parti politik di Sabah. Paling utama 'faktor tarikan ekonomi' yang mendorong bukan sahaja rakyat Filipina tetapi juga sejumlah besar rakyat Indonesia masuk ke Sabah. Negeri Sabah dilihat sebagai negeri baru yang sedang meningkat maju serta sedia menerima golongan pendatang dengan tangan terbuka dan memberi peluang-peluang ekonomi yang terbuka dengan luas.

    3. Hari ini kehadiran rakyat asing, terutama dari Filipina, Indonesia, Myanmar, Pakistan, India dan Bangladesh bukan sebagai pelarian politik tapi pelarian ekonomi. Tentu pemimpin-pemimpin Sabah tahu golongan itu datang untuk mengambil peluang dan kesempatan terhadap sikap rakyat tempatan yang belum bersedia untuk bersaing dalam bidang ekonomi. Akhirnya kaum pendatang hampir sepenuhnya menguasa 'value chains' ekonomi di negeri Sabah.

    4. Menyediakan sebuah pulau barangkali bukan pendekatan atau cara terbaik mengatasi masalah PTI dan kemasukan pelarian ekonomi ke negeri Sabah. Sepatutnya kawalan pintu masuk dan sempadan laut yang luas perlu diperketatkan. Ini yang dilakukan kerajaan Amerika di sempadan Mexico menghalang kemasukan pelarian ekonomi dari Selatan Amerika. Percayalah tiada pelarian ekonomi akan tinggal di pulau yang dicadangkan kerajaan negeri. Takkan setelah golongan yang telah menguasai sektor perladangan, perikanan, pengangkutan, pemborongan, peruncitan serta pasaran tenaga buruh di bandar-bandar utama di Sabah mereka mahu berpindah ke pulau? Sekarang dengan jumlah mereka telah mengatasi penduduk asal, golongan itu juga mula menguasai politik di kawasan pinggir bandar. Dimana rasional tindakan itu? Renung-renungkan
    Selamat petang dari Restoran Pak Mus di Tanjung Aru Plaza
  • Pemimpin Cina 'Federalist' Ditolak !

    Sunday 14 April 2019
    Datuk Liew Vui Keong 
    1. Cadangan gagasan MALAYSIA di Singapura pada 1961 mendapat tentangan awal dari masyarakat Cina Sabah terutama golongan peniaga. Penyertaan Sabah dalam Persekutuan dijangka akan membawa saingan baru daripada kaum Cina dari Malaya yang akan mendominasi peluang perniagaan. Pemimpin persatuan-persatuan perniagaan Cina merupakan kelompok terawal berkempen menolak gagasan Malaysia. Mempengaruhi beberapa orang pemimpin politik dari KDM termasuk OKK Sedomon, GS Sundang dan Donald Stephen untuk menolak cadangan Tunku. Persatuan Cina turut mengeluarkan perbelanjaan menubuhkan parti-parti politik. Harus dicatat, masyarakat Cina di Sabah bukan dibawa masuk British sebagai buruh atau kuli seperti di Malaya. Tapi merupakan golongan imigran terawal yg telah sebati melalui perkahwinan campur dengan masyarakat pribumi Sabah.

    2. Dalam sejarah, masyarakat Cina akan menolak pemimpin Cina yang terlalu 'pro Malaya' atau pemimpin Federalist. Pada 1965 Presiden SCA Peter Lo (Tan Sri) dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah menggantikan Donald Stephens (Tun Stephens). Tapi pada pilihanraya negeri Sabah yang pertama pada 1967 Ketua Menteri Sabah kalah kepada calon BEBAS, Yap Pak Leong di Tawau. Sebabnya? Peter Lo dikatakan terlalu ikut telunjuk Kuala Lumpur.

    3. Sejak kekalahan Peter Lo sentimen anti Malaya begitu kuat dikalangan masyarakat Cina. Pemimpin-pemimpin Cina yang dilihat terlalu ikut cakap Kuala Lumpur akan ditolak. Ini yang berlaku kepada Pak Tet Tsung (SCA), Lim Guan Sing (BERJAYA) dan juga Datuk Liew Vui Kong ( LDP - PRU 2013).

    4. Datuk Liew Vui Keong adalah Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri dan presiden parti LDP ketika dia tewas kepada DAP di Parlimen Sandakan pada PRU 2013. Tapi menang pada PRU lalu di kawasan parlimen baru Batu Sapi, setelah VK Liew dengan imej baru sebagai seorang pemimpin Cina yg memperjuang hak-hak Sabah dan MA63. Beliau telah berjaya mengalahkan calon BN dari PBS dan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga undang-undang dan Parlimen.

    5. Bagaimanapun selepas kegagalan pindaan RUU baru-baru ini imej Datuk V.K. Liew sedikit terjejas. Dia dianggap terlalu pro Malaya. Buat usul secara tergesa-gesa sehingga tidak mendapat undi 2/3. Ada pemerhati yg melihat kegagalannya merebut kerusi Ketua Bahagian Warisan Batu Sapi merupakan hukuman awal atas perubahan sikapnya. Mungkin protes itu juga akan ditunjukkan pengundi dalam PRK Sandakan jika DAP mengambil mudah perasaan masyarakat Cina Sabah terhadap janji2 untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak.
  • Sabah, Sarawak jadi 'guinea pig'

    Wednesday 10 April 2019

    1. Saya konsisten dengan hujah bahawa Sabah adalah bahan ujikaji atau 'guinea pig' politik Kerajaan Persekutuan terutama ketika dibawah Tun Mahathir leadership. Pada awal 90an Tun Mahathir perkenalkan sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah mengikut kaum. Setiap kaum menjadi Ketua Menteri selama 2 tahun secara bergilir-gilir. Sistem penggiliran itu sebenarnya bercanggah dengan perlembagaan negeri Sabah kerana kuasa melantik KM Sabah bukanlah budibicara Perdana Menteri tetapi budibicara TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah. Sehingga parti politik menang 2 kerusi boleh dilantik ke jawatan Ketua Menteri Sabah.

    2. Sebelum itu pada awal 1980-an Tun Mahathir mengambil satu wilayah negeri Sabah, Pulau Labuan tanpa mendapat persetujuan DUN Sabah. Menjadikan Pulau Labuan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan semata-mata kerana kepentingan industri Oil & Gas kepada kerajaan Persekutuan. Tetapi Kerajaan Persekutuan tidak membangunkan pulau itu sepertimana pembangunan pesat kawasan Wilayah Persekutuan lain terutama wilayah Putrajaya. Pengambilan Pulau Labuan itu sebenarnya telah bercanggah dengan semangat penubuhan Malaysia dan MA63. Amat jelas dlm MA63 Sabah mempunyai hak territorial autonomy terhadap Pulau Labuan dan kawasan sekitarnya.

    3. Terbaru bukan saja Sabah, Sarawak juga turut menjadi bahan ujikaji politik Tun Mahathir bila usul pindaan perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dibuat secara tergesa-gesa sedangkan proses perundingan Jawatankuasa Khas mengenai status, hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak dalam MA63 baru masuk mesyuarat kali kedua. Namun Tun Mahathir sekadar menguji. Dia tahu kerajaan pimpinannya tiada majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat. Dia tahu inilah masa terbaik membuat usul itu ketika tiada majoriti 2/3 kerana usul undang-undang dan pindaan perlukan majoriti 2/3 untuk diluluskan Dewan Rakyat.

    4. Tun Mahathir boleh berkata kemudiannya bahawa peluang telah diberi tetapi pemimpin Sabah dan Sarawak tidak menyokong status dipulihkan seperti sebelum 1976. Sedangkan MP Sabah dan MP Sarawak telah menjelaskan awal2 supaya cadangan pindaan itu terlebih dahulu dibawa ke DUN negeri masing2 untuk dibahas dan diluluskan terlebih dahulu sebelum pindaan dibawa ke Dewan Rakyat. MA63 merupakan perjanjian penting. Sebarang pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan jika membabitkan kepentingan kedua2 negeri Borneo pindaan itu mestilah terlebih dahulu mendapat mandat dan persetujuan DUN negeri masing-masing.
    Salam hormat dari Restoran Pak Mus di Tanjung Aru Plaza.
  • UMNO, TUN MAHATHIR DAN PPBM DI SABAH

    Tuesday 9 April 2019
    Buku Konspirasi Politik Melayu ditulis oleh Musli Oli
    1. Kira-kira 28 tahun lalu pada tanggal 19hb Feb 1991 Tun Mahathir mengumumkan UMNO melebarkan sayapnya ke Sabah dihadapan kira-kira 1000 orang penyokong USNO dibangunan MUIS. Secara rasmi dua hari selepas itu, pada 21hb Feb 1991 UMNO telah bertapak di bumi Sabah dan Presiden USNO, Tun Mustapha merupakan ahli parti UMNO yg pertama. Dalam ucapannya Tun Mustapha berkata sudah tiba masanya ahli-ahli USNO berpindah dari kapal kecil USNO ke kapal besar UMNO.

    2. Pada 6hb April 2019, 28 tahun kemudian, Tun Mahathir secara rasmi mengumumkan kemasukan PPBM ke Sabah dihadapan kira-kira 45,000 orang penyokong di bangunan ITCC Penampang. Sungguhpun kemasukan UMNO pada 1991 cuma disambut 1000 penyokong, parti itu telah berjaya mendapat sokongan penduduk berbilang kaum. Parti itu berjaya menjadi tonggak pemerintahan Barisan Nasional selama 25 tahun di Sabah. Apakah PPBM yg mendapat sambutan meriah dan luarbiasa itu akan mendapat sokongan rakyat berbilang kaum di Sabah?

    3. Berbeza dengan UMNO yang masuk ke Sabah atas inisiatif sepenuh Tun Mahathir setelah PBS keluar dari BN, kemasukan PPBM merupakan kehendak pemimpin dan rakyat Sabah. Cumanya Tun Mahathir tidak mengungkapkan secara terus terang bahawa desakan untuk membawa masuk parti itu sebenarnya lebih kepada matlamat untuk survival politik wakil-wakil rakyat UMNO. Barangkali kehadiran 45,000 penyokong telah mengubah persepsi Tun Mahathir dan tidak mengungkapkannya.

    4. Selepas acara sambutan di ITCC saya ditanya beberapa orang ahli PPBM yang merupakan rakan-rakan lama yang datang khas dari KL sebagai pemerhati. Mereka melahirkan rasa terkejut dengan sambutan yang begitu luar biasa. Saya kata pada mereka, tidak sukar untuk kumpul orang kerana orang yang datang bukan semua penyokong-penyokong "organik". Bukan semua yang datang secara sukarela atas semangat perjuangan seperti ahli-ahli USNO dulu. Sekarang penganjur hanya perlu sediakan T-Shirt, makanan, kenderaan dan duit belanja. Orang-orang yang sama itu juga akan datang jika WARISAN atau PKR buat perjumpaan. Mereka hanya tukar baju. Di Sabah, mengumpul orang sudah jadi satu perniagaan yang menguntungkan seperti di Filipina dan Indonesia.

    5. Persoalannya ke mana PPBM selepas ini. Kenapa selepas sambutan gilang gemilang tiba-tiba senyap? Berbanding dengan kemasukan UMNO dulu, sebaik saja parti itu bertapak, seluruh jentera UMNO datang khas dari Kuala Lumpur untuk menggerakkan penubuhan cawangan dan bahagian penaja di seluruh Sabah. Pemimpin-pemimpin kanan parti termasuk para menteri datang ke setiap pelusuk kampung untuk menjelaskan perjuangan parti. Ini tidak berlaku sekarang. Jika PPBM Sabah tidak dilantik dalam kabinet Tun Mahathir atau dibawa masuk dalam kabinet negeri saya tidak nampak PPBM mampu mengambil alih peranan UMNO. Jauh sekali untuk memantapkan pemerintahan WARISAN di Sabah. Sebaliknya kita di Sabah akan terus menerus politicking dan lupa kepada tuntutan hak2 Sabah dan MA63. Samada PPBM akan memantapkan pemerintahan WARISAN atau sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan Datuk Shafie Apdal mencatur gerakan politiknya....
  • MA63 dan Tun Mahathir

    Friday 5 April 2019
    Tun Mahathir Mohamad
    Saya tidak bincang dari sudut undang-undang kerana saya bukan pakar undang-undang. Saya juga tidak lihat dari sudut teknikal kerana saya bukan terlatih sebagai peguam. Saya mahu lihat pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dari sudut politik sahaja.

    Pada 1963 ketika perundingan penubuhan gagasan MALAYSIA dan perjanjian MA63, Sabah dan Sarawak diwakili pemimpin-pemimpin yang mempunyai strong character dan commanding personality

    Tun Stephens dan Tun Mustapha dari Sabah. Stephen Kalong Ningkan, Ong Kee Hui dan Temenggung Jugah dari Sarawak dan the most commanding figures dan leader mereka ialah Lee Kuan Yew dari Singapura.

    Pada masa itu pegawai-pegawai Crown Colony juga turut hadir dalam setiap mesyuarat. Manakala dari pihak Malaya cuma Ghazali Shafie seorang sahaja pemimpin yang tegas mempertahankan ketuanan Melayu. Hanya Ghazali yang berani berhujah dan bertegang leher dgn Lee Kuan Yew dan pemimpin-pemimpin Borneo. Malah dia dilihat lebih menonjol, berpengaruh dan effektif berbanding Tunku Abdul Rahman Putra.

    Hari ini tiada lagi pemimpin dari Sabah dan Sarawak yang disegani. Tun Mahathir lihat pemimpin-pemimpin itu tak ubah seperti budak-budak nakal yang minta duit belanja lebih daripada biasa.

    Kepadanya, tuntutan MA63 oleh pemimpin-pemimpin itu tidak lebih dari sekadar wayang kulit dan Mahathir adalah Tok Dalang yg menentukan jalan ceritanya.

    Pemimpin seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, VDatuk Liew Vui Keong, Datuk Darrel Leiking, Datuk Wilfred Madius Tangau dan lain-lain tidak dianggap pejuang sebenar hak-hak Sabah dan Sarawak. Sebaliknya pada tanggapan Tun Mahathir mereka sekadar berpolitik untuk popular di kalangan rakyat supaya kekal berkuasa.

    Percayalah selagi Tun Mahathir masih pegang jawatan PM MALAYSIA selagi itu Sabah dan Sarawak kekal sebagai lombong kepada Malaya untuk mengaut hasil buminya... Lupakanlah dulu tuntutan MA63 dan fokus masa dan tenaga kepada menjaga kebajikan rakyat negeri masing-masing dengan sumber yang terhad.

    Selamat Datang ke Sabah Tun Mahathir.. negeri yang telah sekian lama kamu jadikan guinea pig politik.