Singgah ke Restoran Pak Mus

  • ANTARA PARTI LOKAL DAN PARTI NASIONAL

    Published: Friday 7 December 2018
    A- A+

    Salam Jumaat dari Restoran Pak Mus. Cerita malam tadi berkisar kepada polemik antara LOKAL parti dengan NASIONAL party. Malam tadi agak sedikit sunyi. Tidak meriah seperi malam-malam biasa. Maklumlah malam tadi ramai orang politik membunuh syaitan. 

    Meja di luar restoran agak lengang. Hanya dua  meja bersambung dengan 5 orang politik sedang hangat berdebat. Saya mulanya hanya perhati sahaja gelagat mereka dari jauh. Saya sedang melayan perasaan risau dengan kenaikan harga kos bahan bahan mentah untuk operasi restoran yang semakin meningkat. Kos bahan mentah menyumbang lebih 60% kos operasi. Baki 40% lagi termasuk sewa kedai, gaji pekerja, api dan air. Minggu lalu Ais cube naik harga 10%. Kata pembekal terpaksa naik harga kerana SST. Lada kering, rempah-rempah juga naik harga lebih 10%. Mungkin berpunca daripada SST juga atau kejatuhan ringgit. Atau kombinasi kedu-dua2 faktor tersebut. Saya tidak fikir berpunca daripada kenaikan gaji sektor awam atau swasta. Setakat malam tadi saya belum dengar pengumuman kenaikan gaji yang dikatakan punca sebenar kenaikan kos sara hidup dalam negara. Lamunan saya terhenti.

    "Pak Mus! Tidak selesai ini hal kalau kau tidak ikut kupi2" Jerit seorang yang kenal rapat dengan saya. 

    Saya menghampiri meja dan bersalam. "Nah, semua ada wakil sudah ni. Satu Umno, dua Warisan dan dua PKR" saya bergurau. 

    "Pak Mus banyak menulis mengenai hak-hak Sabah dan MA63. Cuba jelaskan parti politik mana yang lebih effektif perjuangkan perkara itu" Tanya kawan dari PKR. 

    "Mestilah lokal parti" sampuk kawan dari Warisan. 

    "Kau diam! Bukan kau kena soal". Semua ketawa. Saya tidak terus menjawap soalan. Sebaliknya saya beri sedikit latarbelakang sejarah parti2 politik yang memperjuangkan hak2 Sabah. Bermula dengan Tun Stephens melalui  UPKO, Tun Mustapha dengan USNO, Pairin dengan PBS, Parti UMNO dan sekarang WARISAN. 

    Saya tidak sebut parti BERJAYA kerana parti tiada sejarahnya memperjuangkan hak-hak Sabah sebaliknya menyerah Pulau Labuan kepada kerajaan Persekutuan secara FREE tanpa sebarang pampasan. Pemimpin BERJAYA juga bertanggungjawab menyerah hasil minyak kerana Tan Sri Harris yang tandatangani perjanjian bagi pihak negeri Sabah dengan Petronas. 

    "Nah kan Parti BERJAYA tu parti lokal bukan parti Malaya!"  Tiba2 rakan dari UMNO menyampuk. 

    "Kau pun diamlah!" Kata kawan dari Warisan.  Hahahaha sekali lagi kami semua ketawa. 

    "Sambung Pak Mus. Kau bising lagi terbang ini udang dengan kambing!" Sekali lagi kami ketawa. 

    Baru-baru ini PPBM dilancar PM di Sarawak. Apa mesejnya? Saya seperti bertanya. Tapi semua diam. Tiada menjawap soalan saya. Sebab apa sedangkan ada PBB dan Gabungan Parti Sarawak yang government friendly? Apakah pemimpin Persekutuan tidak iktiraf lokal parti terutama dalam isu2 yang berkaitan dengan hak-hak negeri?

    Sebelum PRU parti PPBM telah membuat perjanjian atau persefahaman dengan Warisan bahawa parti itu tidak akan masuk ke Sabah. Tapi sejauh persefahaman itu dihormati hanya masa yang menentukan kerana saya difahamkan beberapa orang wakil rakyat dari UMNO dan PBS telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PPBM  baru2 ini. 

    Percayalah Putrajaya tidak akan membiarkan sebuah lokal parti yang kuat untuk bertapak lama di Sabah. Lihat apa yang berlaku pada  USNO, BERJAYA dan PBS.  Strategi yang sama akan digunakan di Sarawak bila pemimpin2 Sarawak lebih berani bersuara menuntut hak2 negeri. Strategi divide and rule akan lebih effektif terhadap lokal parti berbanding nasional parti.

    "Kenapa lebih effektif dengan lokal party tapi tidak dengan nasional parti Pak Mus?" Hampir serentak mereka bertanya. 

    Pemimpin lokal parti kurang bargaining power dalam menentukan pucuk pimpinan parti dan negara berbanding dengan nasional parti. Sebagai contoh dalam UMNO dan PKR. Perwakilan dari Sabah mempunyai kuasa menentukan siapa presiden parti. Presiden parti adalah bakal Perdana Menteri. Manakala perwakilan parti2 tempatan tiada kuasa memilih pemimpin di peringkat Persekutuan. 

    Memang benar pemimpin parti tempatan tidak dipilih pemimpin Persekutuan dan mereka lebih bebas bersuara seperti Abang Jo dan Shafie Apdal. Tapi tidak bermakna KL tidak boleh pulas telinga mereka sepertimana mereka lakukan kepada Tun Stephens, Tun Mustapha, Harris Salleh dan Pairin.

    Saya tidak buat kesimpulan atau jawapan parti mana yang lebih effektif perjuangkan hak2 Sabah dan MA63. Terpulanglah kepada pembacaan masing2. 

    Saya meninggalkan mereka kerana ada tugas di dapur. Kami bersalam. "Terima kasih Pak Mus" serentak mereka bersuara.