Singgah ke Restoran Pak Mus

  • SABAH DAN SARAWAK KEKAL "GUINEA PIG" TUN MAHATHIR

    Published: Thursday 20 December 2018
    A- A+
    GAMBAR viral menunjukkan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor (kanan) memegang borang keahlian BERSATU.
    Hari ini Khamis tanggal Disember 20. Seawal jam 4 pagi saya sudah berada di pasar Pilipin. Pasar yang asalnya dibina atas inisiatif UNHCR pada akhir 70an atau awal 80an. Tujuannya untuk menempatkan pelarian Filipina yang ingin berniaga. Hari ini hampir seratus peratus peniaga pasar borong itu adalah warga Filipina atau warga Indonesia. Walaupun berasal dari negara jiran, atas kemurahan hati kerajaan Malaysia terutama semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sebahagian besar warga asing di negeri Sabah telah menjadi warganegara Malaysia. 

    Selepas hampir 30 minit membeli Sayur dan bahan mentah yang lain saya bergerak ke pasar SAFMA yang jauhnya kira-kira 300 meter dari pasar Pilipin. Pasar SAFMA juga sebuah pasar borong ikan. Ikan dan hasil laut dari kapal SAFMA (Sabah Fish and Marketing) akan dipunggah di kawasan itu tidak jauh dari pasar ikan.  Seawal jam 2 pagi pasar SAFMA sudah mula beroperasi. Ikan yang dijual sedikit lebih murah berbanding pasar besar yang mula beroperasi 2-3 jam kemudian. Cuma kepada pelanggan baru mereka harus berhati2 memilih ikan kerana kebanyakan ikan disini telah di rendam cecair formalin. 

    Di sini seratus peratus peniaga adalah warga Filipina. Yang tinggal milik Sabah di kawasan ini hanya nama bangunan seperti bangunan SAFMA. Yang lain semua milik warga asing. Rakyat tempatan tiada pilihan terpaksa hidup dikalangan mereka. Daripada pengalaman, saya dapati warga Filipina kurang etika dalam perniagaan. Bukan semua, tetapi kebanyakan begitu. Hanya sebahagian kecil sahaja yang bersikap jujur dan amanah bila berurusan dengan pelanggan.

    Selepas hampir 1 jam di pasar SAFMA dan pasar besar KK saya balik ke restoran. Rutin setiap pagi ialah menyediakan rempah ratus untuk masak sup, masak dhall untuk roti canai dan menyediakan makanan lain untuk sarapan pagi. Restoran Pak Mus buka jam 6.45 pagi. Sudah tentu Nasi lemak Pak Mus menjadi menu utama disamping hidangan lain seperti mee goreng dan lain2 lagi. Jam 9 pagi saya mula masak gulai kawah, daging kicap, dan hari ini saya masak asam pedas ikan baulu atau dipanggil ikan susu di setengah tempat. Isteri dan pembantu tukang masak menyediakan masakan lain. Sekitar jam 10am tugas saya selesai dan mengadap screen untuk menulis.

    Saya baca akhbar Daily Express setiap pagi. Selama hampir 10 tahun saya tidak melanggan akhbar, tetapi sejak kerajaan baru saya kembali membaca akhbar tempatan dan nasional. Sekali lagi berita tentang kemasukan ahli-ahli UMNO termasuk MP yang keluar dari parti menjadi topik utama. Tun Mahathir membuat kenyataan tidak menerima kemasukan mereka dalam partinya PPBM secara membuta. 

    Kira-kira tiga minggu lalu Tun Mahathir melancarkan PPBM di Sarawak. Balik dari Sarawak, Pengarah Dasar parti itu Datuk Dr Rais Hussien datang ke Sabah. Kali ini mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan sekumpulan MP Umno dan beberapa MP lain dari parti komponen BN. Keputusannya MP Umno dan sebahagian besar Ketua Umno bahagian keluar parti. Sehari selepas itu  kelihatan gambar Datuk Hajiji Haji Nor dan bekas pemimpin kanan  Umno lain termasuk Datuk Azizah Dun dan Datuk Masidi Manjun sedang menerima satu fail dengan logo bunga raya iaitu logo PPBM. Gambar itu telah viral dan menjadi  topik perdebatan di Sabah. 

    Halaman utama akhbar Daily Express hari ini
    Tun Mahathir selepas itu membuat pula kenyataan PPBM tidak akan masuk ke Sabah tetapi mereka boleh menjadi ahli. Ramai yang keliru tapi saya tidak terkejut, jauh sekali keliru dengan tindak tanduk politik ala Machiavelli Tun Mahathir. Pada 1991 bila Tun Mahathir melebarkan sayap Umno ke Sabah, parti itu tidak masuk ke Sarawak. Orang Sarawak sekadar menjadi Ahli Bersekutu parti itu. Perkiraannya mudah, jika bahagian2 Umno di Sabah bergabung dengan 31 bahagian di Sarawak, perwakilan UMNO dari Sabah dan Sarawak boleh tentukan pemimpin2 UMNO diperingkat tertinggi parti termasuk jawatan Presiden dan bakal Perdana Menteri. Barangkali Tun Mahathir mengambil perkiraan yang sama dengan PPBM. 

    Sekarang sudah hampir jam 12 tengahari. Restoran mula sibuk. Saya terpaksa melihat persiapan di dapur. Kita sambung esok.
  • No Comment to " SABAH DAN SARAWAK KEKAL "GUINEA PIG" TUN MAHATHIR "