Singgah ke Restoran Pak Mus

  • BAJAU DAN POLITIK SABAH

    Published: Tuesday 11 December 2018
    A- A+

    Dalam sejarah politik Sabah, Masyarakat Bajau merupakan masyarakat bumiputera terawal mempunyai kesedaran politik selepas Masyarakat KDM. Dalam sejarahnya masyarakat atau rumpun Bajau tidak pernah terpisah dalam perjuangan politik yg berteraskan perjuangan berlandaskan Islam. 

    Bermula dengan parti USNO, sehinggalah parti itu dibubarkan dengan kemasukan UMNO pada 1991. Tidak dapat dinafikan, sepanjang tempuh itu muncul beberapa pemimpin Bajau dan kumpulan kecil yg menyokong parti2 lain seperti BERJAYA (1976-1985) dan kemudiannya PBS (1985-1994) namun secara umum masyarakat Bajau sentiasa berada dalam satu bahtera politik.

    Di samping perpaduan dalam parti politik, kaum Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur juga sentiasa mengekalkan perpaduan melalui NGO seperti Persatuan Sabah Bajau Bersatu atau PSBB yang ditubuhkan pada 1965. PSBB kemudiannya bertukar menjadi USBO dua tahun lalu dibawah pimpinan Tan Sri Pandikar Amin Hj PaMin Padila Mulia. Saya teringat ketika mesyuarat agung PSBB tahun 1986 bila berlaku pertandingan pucuk pimpinan tertinggi
    PSBB.

    Presiden Datuk Seri Salleh Said dicabar Tuan Haji Laugan Terki (Allahyarham) manakala jawatan timbalan presiden dipertandingkan antara seorang tokoh Bajau dari Kota Belud, Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin (Datuk) dengan Shafie Apdal (Datuk Seri Panglima) dari Semporna.

    Pada ketika itu saya salah seorang Ahli Majlis Tertinggi PSBB dilantik jawatan Penolong Setiausaha Agung. Secara senyap2 saya berkempen untuk Shafie Apdal kerana mahu melihat kepimpinan PSBB tidak dibolot kelompok Bajau dari satu kawasan sahaja iaitu Pantai Barat. Sungguhpun begitu sebagai menghormati pakcik saya, Datu Tigabelas dan supaya tidak kelihatan terlalu memihak kerana jawatan sebagai AMT, saya tidak berkempen secara terbuka.

    Bertitik tolak dari situ Datuk Seri Shafie Apdal terus bersama-sama dalam kepimpinan PSBB dan kemudiannya USBO sehinggalah berlaku perpecahan dalam NGO itu berpunca daripada tindak tanduk politik "divide and rule" yang tujuannya semata-mata untuk melemahkan perpaduan masyarakat Bajau yang merupakan tunjang kekuatan UMNO di Sabah pada ketika itu.

    Saya akan tulis panjang lebar mengenai siapa dibelakang perancangan divide and rule itu dalam catatan berikutnya kerana tulisan ini fokus kepada perbincangan politik Bajau secara umum.

    Sejak merdeka rumpun Bajau telah menjadi Ketua Menteri sebanyak enam kali dengan 6 orang daripada 15 orang yang pernah jadi Ketua Menteri Sabah. Bermula dengan Tun Mustapha (1967-1975) Tun Said Keruak (1975-1976) Tun Sakaran (1994-1995), Datuk Salleh Tun Said (1995-1996), Datuk Osu Sukam (2000-2002) dan sekarang Datuk Seri Panglima Shafie Apdal (Mei 2018 - sekarang).

    Sepanjang tempuh itu perpaduan politik Masyarakat Bajau - Pahlawan Di Laut, Perwira Di Darat sentiasa kukuh hingga ke hari ini. Terbukti pada PRU lalu, walaupun berpecah masyarakat Bajau terus dominan dalam menentukan kuasa politik di Sabah.

    Mohon izin ke dapur mau masak dhall untuk cecah roti canai. Kita sambung esok.

  • 6 comments to ''BAJAU DAN POLITIK SABAH"

    ADD COMMENT