Pelarian Perang dan Pelarian Ekonomi
Thursday, 18 April 2019
Akhbar tempatan melaporkan Kerajaan Negeri Sabah sedang mengenalpasti pulau untuk menempatkan pendatang tanpa izin (PTI) dari terus memasuki sempadan Sabah |
- Pada awal 60-an sehingga 70-an rakyat Filipina yang datang ke Sabah merupakan pelarian perang atau pelarian politik berikutan keadaan Selatan Filipina yang kerap bergolak dan peperangan kerap berlaku sehingga mengorbankan ramai rakyat terutama beragama Islam menjadi mangsa perang. Kerajaan Malaysia dengan kerjasama PBB membuka pintunya melalui Sabah menerima pelarian atas dasar peri kemanusiaan. Sebuah pulau di Sandakan dijadikan penempatan sementara kaum pelarian Filipina. Pulau itu turut dikendali UNHCR (United Nation High Commissioner For Refugees). Presiden Filipina, Ferdinand Marcos pernah menuduh Malaysia menjadi dalang pemberontakan di Selatan Filipina dengan menyediakan sebuah pulau sebagai pusat latihan untuk tentera MORO. Tuduhan yang dinafikan kerajaan Malaysia dan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh membawa Marcos melawat dari udara dengan Helikopter sewaktu lawatan presiden Filipina itu pada tahun 1980. Marcos akhirnya menarik tuduhannya.
- Di samping pulau itu beberapa penempatan baru dibuka kerana jumlah pelarian bertambah ke angka ratusan ribu pada awal tahun 80-an. Di Kota Kinabalu UNHCR juga turut menyediakan sebuah pasar berhadapan kompleks Sinsuran untuk golongan pelarian berniaga selain menyediakan perumahan sementara di Kinarut dan kawasan lain. Perbelanjaan kemudiannya ditanggung kerajaan Sabah. Bagaimanapun pada akhir tahun 80-an dan awal 90-an, kehadiran rakyat Filipina di Sabah bukan lagi kerana faktor peperangan atau politik negeri asal mereka tapi kerana faktor-faktor lain. Ini termasuk faktor kepentingan politik parti-parti politik di Sabah. Paling utama 'faktor tarikan ekonomi' yang mendorong bukan sahaja rakyat Filipina tetapi juga sejumlah besar rakyat Indonesia masuk ke Sabah. Negeri Sabah dilihat sebagai negeri baru yang sedang meningkat maju serta sedia menerima golongan pendatang dengan tangan terbuka dan memberi peluang-peluang ekonomi yang terbuka dengan luas.
- Hari ini kehadiran rakyat asing, terutama dari Filipina, Indonesia, Myanmar, Pakistan, India dan Bangladesh bukan sebagai pelarian politik tapi pelarian ekonomi. Tentu pemimpin-pemimpin Sabah tahu golongan itu datang untuk mengambil peluang dan kesempatan terhadap sikap rakyat tempatan yang belum bersedia untuk bersaing dalam bidang ekonomi. Akhirnya kaum pendatang hampir sepenuhnya menguasa 'value chains' ekonomi di negeri Sabah.
- Menyediakan sebuah pulau barangkali bukan pendekatan atau cara terbaik mengatasi masalah PTI dan kemasukan pelarian ekonomi ke negeri Sabah. Sepatutnya kawalan pintu masuk dan sempadan laut yang luas perlu diperketatkan. Ini yang dilakukan kerajaan Amerika di sempadan Mexico menghalang kemasukan pelarian ekonomi dari Selatan Amerika. Percayalah tiada pelarian ekonomi akan tinggal di pulau yang dicadangkan kerajaan negeri. Takkan setelah golongan yang telah menguasai sektor perladangan, perikanan, pengangkutan, pemborongan, peruncitan serta pasaran tenaga buruh di bandar-bandar utama di Sabah mereka mahu berpindah ke pulau? Sekarang dengan jumlah mereka telah mengatasi penduduk asal, golongan itu juga mula menguasai politik di kawasan pinggir bandar. Dimana rasional tindakan itu? Renung-renungkan
Selamat petang dari Restoran Pak Mus di Tanjung Aru Plaza