Singgah ke Restoran Pak Mus

  • Adat Orang Politik

    Published: Sunday 16 December 2018
    A- A+
    Hari ini Ahad tanggal 16hb Disember, Restoran Pak Mus cuti. Setiap Ahad yang jatuh pada minggu kedua dan minggu ketiga adalah 'off day'. Masa rehat untuk semua pekerja restoran. Sungguhpun restoran cuti cerita politik tetap berlaku diluar restoran. Di mana saya berada, disitu pasti ada isu2 politik hangat yang menjadi topik perdebatan dan perbincangan.

    Sabtu Disember 15, saya menerima banyak undangan majlis perkawinan dari saudara mara dan sahabat handai dari Kota Belud. Oleh kerana bergerak agak lewat dari KK, saya hanya sempat hadir satu majlis di Kg Labuan. Majlis anak saudara, anak perempuan Puan Baisah binti Datu Ghairullah. 

    Kehadiran jemputan agak luar biasa. Lorong masuk ke rumah sejauh lebih kurang 600 meter dari jalan utama kampung itu pula agak sempit. Satu lorong sahaja. Muat satu kereta. Jalan pun sudah lama tidak berturap. Jika musim hujan jalan akan dipenuhi selut dan lumpur. Biasanya setiap kali menjelang pilihanraya, jalan2 itu akan ditabur batu kerikil. Setakat itu sahaja untuk menggembirakan Pengerusi JKKK. Itulah antara pembangunan yang dibanggakan sebahagian penduduk kampung yang menjadi penyokong tegar kerajaan. Manakala bekalan air bersih masih ditahap chipsmore. Sekejap ada. Sekejap tiada. 

    Sejak sekian lama Kg Labuan agak terpinggir dari arus pembangunan daerah Kota Belud. Barangkali berpunca daripada itu sebahagian besar pengundi di kawasan itu tidak pro kerajaan. Saya masih ingat pada PRU 1986, arwah abang saya Jamlidi Hj Oli yang mewakili PAS dalam pertandingan kerusi parlimen Kota Belud, walaupun kalah secara keseluruhan tapi menewaskan undi calun BN, Maidom Pansai dalam Daerah Mengundi (DM) Kampung Labuan. Begitu juga keputusan pada PRU14, undi Warisan mengatasi undi BN di DM Kg Labuan itu.

    Sebaik meletakkan kereta di salah sebuah rumah yang sudi membuka pagar, saya berjalan kaki menuju ke kawasan rumah kakak sepupu saya itu. Kehadiran begitu ramai, menyebabkan makanan yang saya idamkan 'pecal kg labuan' sudah habis. Begitu juga lauk pauk yang lain. Yang tinggal ayam kari, ayam kicap, ayam kurma dan ayam goreng. 

    " Pemimpin UMNO ni kurang adat. Keluar tidak  bagitau kita di bawah. Kenapa USNO dulu panggil semua ketua2 cawangan, orang2 veteran politik, orang kampung untuk berbincang sebelum ramai2 keluar?" Saya dikejutkan dengan soalan yang menusuk jantung.

    Kota Belud tempat UMNO lahir di Sabah. Kami yang menangkan UMNO di Usukan (DUN Usukan). Selepas menang kami terus jadi keldai kepada pemimpin dan parti UMNO  mempertahan kawasan mereka. Apa kami dapat? Mereka yang jadi kaya raya.  Bila keluar senyap2 macam perangai  pencuri. Ada adatkah pemimpin begitu?

    Semakin tinggi suaranya berceramah. Saya tahu kata2 itu ditujukan pada saya walaupun ada 5 orang lain di meja bulat itu. Mereka cuma tahu angguk2 mengiyakan kata2 orang veteran UMNO dan USNO itu.

    Tapi parti USNO itu bubar dan semua ahli masuk  UMNO. Tidak sama dengan keadaan sekarang. UMNO tidak bubar. Hanya pemimpin2 keluar dan menjadi anggota Bebas. Takkan mereka bawa semua ahli UMNO jadi ahli Bebas? Saya cuba patahkan hujah untuk pertahan tindakan pemimpin2 UMNO Kota Belud. 

    Dia terus bangun. Seperti  pasang kuda2. Aikk.. takkan bersilat. Rupanya dia tambah bersemangat bila saya sebut USNO. 

    "Siapa kata USNO bubar?" Dua tangannya diangkat. Kalau bubar kenapa USNO boleh bergabung dengan PBS dalam kerajaan PBS-Plus? Semakin tinggi suaranya. Saya minta dia tuangkan saya air sirap sekadar untuk redakan suaranya. Dia ketawa. "Itu no kuling kau, siok no serita sooh nu nuang sirap" hahahaha. Dalam bahasa Bajau maksudnya tengah asyik cerita, kau potong stim.

    Rata-rata begitulah isihati golongan akar umbi parti UMNO di Kota Belud. Kawasan2 lain mungkin mempunyai sentimen yang sama atau berbeza. Saya tidak pasti. 

    Sekitar jam 3pm saya meninggalkan majlis menuju ke rumah saya di tepi pantai Kg Bua Pintasan. Jumpa lagi esok. Selamat berhujung minggu bersama keluarga.

  • No Comment to " Adat Orang Politik "